ROM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin menolak permintaan Israel untuk membatalkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, serta menggantung siasatan dijalankan berhubung jenayah di Palestin.
Dalam keputusannya, Dewan Pra-Perbicaraan I ICC menyatakan ia menolak dua permintaan yang dikemukakan oleh Israel pada 9 Mei 2025 iaitu bagi menarik balik, membatalkan, atau mengisytiharkan tidak sah waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallantserta untuk menggantung siasatan pendakwa raya terhadap situasi di Palestin.
Mahkamah menolak hujah Israel yang mendakwa ICC tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang dilakukan di wilayah Palestin, dan menegaskan kembali keputusan-keputusan terdahulu berhubung perkara tersebut.
Mahkamah turut menyatakan keputusan Dewan Rayuan bertarikh 24 April 2025 tidak boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan bidang kuasa mahkamah.
Menurut keputusan itu, penggantungan siasatan hanya terpakai apabila sesebuah negara mencabar kebolehterimaan kes seperti yang termaktub dalam Artikel 19(7) Statut Rom.
Barisan hakim menyatakan Israel tidak mengemukakan sebarang cabaran terhadap kebolehterimaan kes tersebut.
Dewan itu juga menolak permintaan Israel untuk menafikan peluang kepada Palestin untuk menyatakan pandangannya, dengan menyatakan mahkamah telah pun mempunyai maklumat yang mencukupi dan tidak memerlukan penyerahan tambahan.
Pada 5 Februari 2021, ICC memutuskan Palestin adalah Negara Pihak kepada Statut Rom, dan bahawa bidang kuasa mahkamah meliputi Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur iaitu wilayah-wilayah yang diduduki oleh Israel sejak 1967.










