TEHERAN: Semua pejabat kerajaan, bank dan perniagaan di wilayah Tehran termasuk ibu negaranya akan ditutup pada Rabu susulan gelombang haba melampau dan keperluan untuk menjimatkan tenaga, lapor media rasmi Iran.
Dengan suhu di Tehran melebihi 40 darjah Celsius, kerajaan telah menasihatkan orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah terutama ketika waktu puncak panas.
Akhbar harian IRAN pada Isnin memetik jurucakap kerajaan, Fatemeh MoHajjerani yang menggesa penduduk mengambil langkah berjimat cermat dalam penggunaan elektrik dan air.
Laporan itu menyebut semua pejabat kerajaan, bank dan perniagaan di seluruh wilayah Teheran akan ditutup pada Rabu.
Ini bukan kali pertama Iran mengisytiharkan cuti umum akibat cuaca panas. Pada Julai 2024, negara itu turut mengumumkan cuti sehari atas sebab yang sama selepas mengadakan cuti dua hari pada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh 24 jam lalu, bandar Borazjan di wilayah selatan Bushehr mencatat suhu tertinggi di negara itu, mencecah 50 darjah Celsius.-AGENSI










