GAZA: Sayap bersenjata kumpulan Hamas, Briged Izzudin Al-Qassam, menuduh Israel sebagai pihak yang menggagalkan usaha mencapai perjanjian gencatan senjata sementara serta pertukaran tebusan di Semenanjung Gaza.
Jurucakap briged itu, Abu Obaida, dalam satu kenyataan video pada Jumaat berkata, Hamas sentiasa mengemukakan cadangan untuk satu perjanjian menyeluruh yang melibatkan pembebasan semua tebusan serentak.
Namun katanya, Israel menolak tawaran tersebut.
“Kami telah mencadangkan perjanjian yang menyeluruh untuk membebaskan semua tebusan sekaligus, tetapi pihak musuh (Israel) menolaknya,” kata Abu Obaida.
Beliau turut menggesa Israel supaya menimbang semula pendirian mereka dalam rundingan ini.
“Jika musuh terus berdegil dalam pusingan rundingan kali ini, kami tidak dapat memberi jaminan cadangan pertukaran bersifat sebahagian termasuk tawaran pertukaran 10 tebusan akan dikekalkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, memaklumkan rundingan masih berada pada peringkat awal.
Menurutnya, usaha untuk mencapai persetujuan sedang dipertingkatkan oleh para perantara dan Qatar enggan menganggap rundingan itu berada dalam keadaan buntu.
Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengakibatkan 1,219 orang maut, kebanyakannya orang awam, berdasarkan angka rasmi yang dikumpulkan AFP.
Serangan tentera Israel di Gaza pula telah meragut nyawa 58,667 rakyat Palestin, yang kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza. –AGENSI










