BEIJING: Seorang lelaki di China tular di media sosial selepas berkongsi kisahnya bekerja sebagai penghantar makanan walaupun memiliki latar belakang pendidikan yang luar biasa, termasuk memperoleh ijazah dari Universiti Oxford.
Ding Yuanzhao, 39, yang berasal dari wilayah Fujian di tenggara China, dilabel warganet sebagai ‘penghantar makanan paling berpendidikan tinggi’ selepas pendedahan latar akademiknya mencetuskan perdebatan hangat mengenai penurunan nilai kelayakan akademik dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Lapor SCMP, Yuanzhao memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan kemasukan ke universiti kebangsaan China (gaokao) pada tahun 2004 dengan markah hampir 700 daripada jumlah maksimum 750 sekaligus, melayakkannya menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kimia di Universiti Tsinghua, antara institusi paling berprestij di negara itu.
Dia kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan tenaga di Universiti Peking, sebelum memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam biologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura dan ijazah sarjana dalam bidang biodiversiti dari Universiti Oxford, Britain.
Yuanzhao pernah menjalankan penyelidikan pasca kedoktoran di Universiti Nasional Singapura (NUS) namun, selepas kontraknya tamat pada Mac tahun lalu, beliau gagal mendapat pekerjaan walaupun menghantar puluhan resume dan menghadiri lebih 10 temu duga.
Akibat kesukaran mendapat pekerjaan bersesuaian, beliau memilih untuk menjadi penghantar makanan di Singapura dan memperoleh kira-kira AS$550 (RM 2,321) seminggu dengan bekerja 10 jam sehari.
Beberapa bulan kemudian, dia pulang semula ke China dan kini bekerja sebagai penghantar makanan untuk platform Meituan di Beijing.
“Pekerjaan ini stabil. Saya boleh menyara keluarga dengan pendapatan ini. Jika kita rajin, kita boleh hidup dengan baik. Ia bukan pekerjaan yang hina,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.









