GAZA: Israel mengumumkan penghentian operasi ketenteraan selama 10 jam sehari di beberapa kawasan di Gaza dan pembukaan koridor bantuan kemanusiaan baharu, dalam usaha menangani tekanan antarabangsa berikutan krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Langkah itu diumumkan ketika Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza, yang dilanda kebuluran dan kekurangan bekalan asas.
Imej menyayat hati penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak yang kelaparan mencetuskan kemarahan serta kebimbangan masyarakat antarabangsa.
Dalam masa sama, rundingan gencatan senjata secara tidak langsung antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas, yang berlangsung di Doha, terhenti tanpa sebarang kemajuan atau perjanjian dicapai.
JEDA AKTIVITI TENTERA
Tentera Israel mengumumkan aktiviti ketenteraan akan dihentikan setiap hari bermula pada Ahad lalu, berkuat kuasa dari pukul 10 pagi hingga 8 malam, dengan serangan kembali dilancarkan seperti biasa selepas tempoh itu berakhir.
Jeda tersebut melibatkan tiga kawasan di sepanjang pantai Mediterranean, meliputi Al-Mawasi, Deir al-Balah dan bandar Gaza, yang kebanyakannya ditetapkan sebagai zon selamat untuk orang awam.
Tentera Israel turut mengeluarkan peta yang menunjukkan kawasan di mana penangguhan itu akan berkuat kuasa, namun menandakan seluruh baki wilayah Gaza dengan tanda merah sebagai ‘zon pertempuran berbahaya’.

Pasukan rejim turut menetapkan laluan selamat khas untuk konvoi yang membawa makanan dan ubat-ubatan dari pukul 6 pagi hingga 11 malam, bermula Ahad lalu.
Bagaimanapun, agensi bantuan antarabangsa menyifatkan langkah itu sebagai terlalu kecil dan lewat, selepas berbulan-bulan bantuan tersekat dan rakyat Gaza berdepan kebuluran.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) turut memaklumkan penyambungan bekalan elektrik dari Israel ke loji penyahgaraman di Gaza, yang akan membekalkan kira-kira 20,000 meter padu air setiap hari, 10 kali ganda jumlah bekalan semasa.
Pejuang Hamas mengecam tindakan kerajaan Israel sebagai ‘sekadar langkah rasmi dan bersifat mengelirukan yang bertujuan membersihkan imejnya di mata dunia’.
“Rancangan penjajah untuk penghantaran bantuan udara dan kawalan terhadap apa yang dipanggil koridor kemanusiaan adalah dasar terang-terangan untuk mengurus kebuluran, bukan menamatkannya.
“Ia membahayakan nyawa orang awam dan merendahkan maruah mereka, bukannya memberi perlindungan serta bantuan menyeluruh,” kata Hamas.
BANTUAN MASUK KE GAZA
Trak bantuan mula bergerak menuju ke Gaza, termasuk konvoi dari Mesir dan Jordan.
Ribuan lori membawa bekalan makanan dan perubatan kini bersedia untuk memasuki Gaza, namun pintu lintasan utama di Kerem Shalom sudah pun sesak dengan muatan bantuan yang masih menunggu untuk diagihkan.
Lebih 100 trak membawa lebih 1,200 tan metrik bekalan makanan berjaya memasuki Gaza pada Ahad, namun tindakan berterusan diperlukan untuk menangani krisis yang sedang berlaku, kata
Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Tom Fletcher.
Penghantaran bantuan melalui udara oleh Israel, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut dijalankan hujung minggu lalu dengan 28 pakej bantuan dijatuhkan.
Namun, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) menyifatkan kaedah itu sebagai mahal, tidak efisien dan berisiko tinggi, memandangkan keadaan padat serta berbahaya di Gaza.
HARAPAN RAKYAT GAZA
Ramai penduduk Gaza meluahkan sedikit kelegaan susulan pengumuman penghantaran bantuan makanan lebih besar pada Ahad, namun tetap menegaskan hanya penamatan perang sepenuhnya mampu membawa perubahan sebenar.
“Orang ramai gembira apabila mendengar sejumlah besar bantuan makanan akan dibawa masuk ke Gaza.
“Kami berharap ini menjadi langkah pertama ke arah menamatkan perang yang sudah memusnahkan segala-galanya,” kata pemilik perniagaan tempatan, Tamer Al-Burai.
Pegawai kesihatan di Hospital Al-Awda dan Al-Aqsa di tengah Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 17 maut selepas ditembak ketika menunggu ketibaan lori bantuan.
Tentera Israel mengaku melepaskan tembakan amaran ke arah individu yang dianggap mengancam keselamatan anggotanya, namun mendakwa tidak mengetahui sebarang kematian berlaku dalam insiden itu.
Dalam tempoh 24 jam, enam kematian baharu akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dilaporkan di wilayah itu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat 133 orang termasuk 87 kanak-kanak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan terbaharu mendakwa, negaranya akan terus membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan sama ada sedang berperang atau ketika rundingan gencatan senjata.
Bagaimanapun, beliau tetap berikrar untuk meneruskan kempen ketenteraan sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya.










