Erdogan kecam karikatur hina agama, anggap provokasi keji - Utusan Malaysia

Erdogan kecam karikatur hina agama, anggap provokasi keji

RECEP TAYYIP ERDOGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengecam sebuah kartun satira yang dianggap menghina agama, menyifatkannya sebagai provokasi keji dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang penghinaan terhadap nilai-nilai suci umat Islam.

Karikatur berkenaan yang diterbitkan oleh majalah satira terkenal Leman mendapat kritikan hebat daripada kelompok konservatif agama dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan yang menyifatkannya sebagai jenayah kebencian berunsur Islamofobia.

“Kami tidak akan membenarkan sesiapa pun menghina nilai-nilai suci kami,” kata Erdogan dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen sambil menegaskan pihak berkuasa akan mengikuti proses undang-undang dengan teliti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang tidak menghormati Nabi kita dan para nabi lain akan diheret ke muka pengadilan,” tambahnya.

Empat kartunis dari Leman telah ditahan lewat malam Isnin berhubung penerbitan tersebut. Penahanan itu mencetuskan bantahan awam di Istanbul dengan ratusan orang berkumpul di tengah bandar walaupun terdapat larangan berhimpun dan kehadiran polis yang besar.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya memuat naik video di platform X yang menunjukkan detik penahanan kartunis dikenali sebagai D.P. (Pehlevan) dengan tangan digari dan ditarik menaiki tangga oleh pegawai polis.

Tiga lagi kartunis turut ditahan di rumah masing-masing dan dimasukkan ke dalam van polis dengan salah seorang daripadanya dalam keadaan berkaki ayam.

“Individu yang melukis imej keji ini, D.P., telah ditahan. Mereka yang tidak tahu malu ini akan bertanggungjawab di sisi undang-undang,” tulis Yerlikaya.

Pihak berkuasa menyatakan siasatan telah dilancarkan mengikut Seksyen Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi hasutan kepada kebencian dan permusuhan.

Sementara itu, kumpulan dikenali sebagai Platform Solidariti Islamik telah mengadakan demonstrasi pada Selasa menyebabkan pihak polis menutup Dataran Taksim dan Jalan Istiklal iaitu kawasan beli-belah utama di Istanbul.

Kira-kira 300 penunjuk perasaan melaungkan slogan mengecam majalah Leman, namun laporan wartawan tempatan menyatakan demonstrasi tersebut lebih tenang berbanding malam sebelumnya apabila kira-kira 400 orang cuba menyerbu sebuah bar yang sering dikunjungi oleh kakitangan majalah berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini