Empat terkorban akibat tanah runtuh, hujan lebat di China - Utusan Malaysia

Empat terkorban akibat tanah runtuh, hujan lebat di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Satu kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa meragut empat nyawa dan menyebabkan lapan hilang di wilayah Hebei, utara China.

Tanah runtuh di Bandar Chengde itu berlaku disebabkan hujan lebat, lapor penyiar negara CCTV.

Jabatan pengurusan kecemasan negara memaklumkan mereka menghantar pasukan untuk memeriksa keadaan banjir yang teruk di Hebei, yang mengelilingi ibu negara Beijing.

Sebahagian besar kawasan di utara China dilanda banjir dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan hujan rekod di Hebei mengorbankan dua orang pada hari Sabtu, menurut media rasmi.

Di daerah Fuping, lebih 4,600 orang dipindahkan pada hujung minggu, kata laporan itu.

Sementara itu, di wilayah jiran Shanxi, seorang diselamatkan dan 13 lagi hilang selepas satu kemalangan bas, lapor CCTV.

Rakaman daripada penyiar itu menunjukkan jalan-jalan di Shanxi dan ladang tanaman tenggelam dalam air deras pada hari Ahad.

Di ibu negara Beijing, lebih 3,000 orang di daerah pinggir bandar Miyun telah dipindahkan akibat hujan lebat.

Takungan di kawasan itu “mencatatkan aliran masuk banjir terbesar” sejak ia dibina lebih enam dekad lalu, menurut media rasmi.

Rakaman yang dikongsi oleh CCTV menunjukkan kereta dihanyutkan oleh arus deras.

Bencana alam adalah perkara biasa di China yang luas, terutama pada musim panas apabila sesetengah kawasan mengalami hujan lebat manakala kawasan lain dilanda gelombang haba melampau.

China merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau yang menurut saintis mendorong perubahan iklim dan menyumbang kepada peningkatan kejadian cuaca ekstrem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×