LONDON: Kaedah keibubapaan moden yang dikenali sebagai ‘gentle parenting’ atau didikan lembut semakin menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa muda terutamanya Generasi Milenial dan Z.
Namun, satu kajian terbaharu mendapati pendekatan itu tidak membantu perkembangan akademik kanak-kanak secara optimum, sebaliknya lebih cemerlang apabila dibesarkan dengan kaedah lebih tegas dan menetapkan had jelas.
Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial Kebangsaan di London melibatkan 6,000 kanak-kanak di England berusia dari dua tahun sehingga memasuki tahun akhir sekolah rendah.
Hasil kajian menunjukkan kanak-kanak yang dibesarkan dengan didikan berautoriti, iaitu gabungan ketegasan dengan kasih sayang dan kawalan psikologi, lebih berpotensi mencapai tahap akademik yang diharapkan dalam bacaan, penulisan dan matematik.
“Penetapan had yang lebih tinggi oleh ibu bapa dikaitkan dengan kemungkinan lebih besar untuk anak mencapai tahap akademik yang disasarkan,” jelas kajian tersebut.
Kaedah didikan lembut menolak penggunaan hukuman, tidak membenarkan ibu bapa meninggikan suara dan mengelakkan penggunaan perkataan ‘tidak’ sebaliknya, ibu bapa digalakkan menjadi seperti jurulatih kepada anak, bukan menghukum, dengan menerangkan akibat sesuatu perbuatan secara tenang, kata Pakar Pediatrik di Cleveland Clinic Ohio, Dr. Karen Estrella.
Timbul juga kebimbangan mengenai anak-anak yang dibesarkan dengan terlalu banyak toleransi akan menjadi manja dan sukar dikawal.
Menurut kajian itu, kaedah berautoriti lebih berkesan berbanding autoritarian iaitu didikan terlalu keras dan kurang menunjukkan kasih sayang.
Walaupun didikan berautoriti membenarkan sesekali meninggikan suara dan mengenakan hukuman, ia tetap mengekalkan unsur kasih sayang terhadap emosi anak.










