TEL AVIV: Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan ekstrem, Itamar Ben Gvir, mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apabila mendakwa tiada kebuluran sebenar berlaku di Gaza, sekali gus mempertahankan dasar kerajaan Israel menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu.
“Tiada kelaparan sebenar di Gaza. Jika mereka benar-benar lapar, mereka sudah memulangkan tebusan,” katanya dalam satu kenyataan di platform media sosial X pada Jumaat.
Ben Gvir yang mengetuai parti berfahaman pelampau Otzma Yehudit, sebelum ini lantang menggesa agar semua bentuk bantuan kemanusiaan dihentikan sepenuhnya ke Gaza malah beliau turut mencadangkan agar wilayah itu dijajah semula sepenuhnya oleh Israel, penduduk Palestin diusir keluar, dan penempatan haram dibina semula di kawasan berkenaan.
Kenyataan terbaharu itu dilihat menyokong dasar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengekang kemasukan bantuan ke Gaza, satu tindakan yang dikecam meluas oleh komuniti antarabangsa sebagai hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin.
Kenyataan Ben Gvir itu bertentangan sama sekali dengan amaran yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta puluhan negara dan pertubuhan bantuan antarabangsa, yang menyifatkan Gaza sedang berhadapan antara krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah wilayah itu.
Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza, yang menyaksikan lebih 59,500 penduduk Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Sejak 2 Mac lalu, Israel turut menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kecemasan sekaligus mengakibatkan kebuluran dan kekurangan zat yang kritikal, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta pesakit.
Beberapa bahagian di Gaza kini dilaporkan berada dalam keadaan kebuluran peringkat paling teruk, manakala badan bantuan memberi amaran masa semakin suntuk untuk mengelakkan kematian besar-besaran akibat kelaparan.
Meskipun menerima desakan antarabangsa supaya menghentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata, tentera Israel terus menjalankan operasi ketenteraan yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini sedang berdepan prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan jenayah genosid terhadap penduduk Palestin. – AGENSI










