Bantuan udara Israel 'hempap' khemah penduduk Palestin di Gaza Utara - Utusan Malaysia

Bantuan udara Israel ‘hempap’ khemah penduduk Palestin di Gaza Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin cedera selepas bantuan kemanusiaan yang dijatuhkan dari udara di Gaza Utara menghempap khemah-khemah penempatan sementara, menurut sumber perubatan tempatan.

Tentera Israel pada Sabtu mengumumkan mereka telah menjalankan operasi penurunan bantuan kemanusiaan dari udara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membenarkan dan memudahkan kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza.

Namun, menurut sumber tempatan kepada Al Jazeera, beberapa palet bantuan jatuh tepat di kawasan khemah berhampiran Jalan al-Rasheed iaitu jalan utama yang menghubungkan utara dan selatan Gaza di sepanjang pantai.

Banyak palet bantuan lain pula dilaporkan jatuh jauh dari kawasan penempatan pelarian dan berhampiran kawasan yang dikawal oleh tentera Israel.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud melaporkan dari Bandar Gaza bahawa operasi bantuan udara sebelum ini tidak berkesan, tidak sampai kepada cukup ramai orang, malah mencetuskan kekacauan dan keganasan.

“Penurunan bantuan dari udara ini mengesahkan laporan-laporan kami sebelum ini bahawa Gaza kini menjadi makmal ujian dan tentera Israel bereksperimen dengan setiap serangan dan dasar yang dilaksanakan,” katanya.

Agensi bantuan antarabangsa pula menyatakan keraguan serius terhadap keberkesanan kaedah penurunan bantuan dari udara, dengan menyifatkannya tidak mampu menyelesaikan krisis kebuluran yang semakin meruncing dalam kalangan lebih dua juta penduduk Gaza.

Dalam perkembangan lain, selepas berbulan-bulan tekanan antarabangsa, tentera Israel pada Ahad menghentikan sementara operasi ketenteraan di beberapa kawasan di Gaza serta membuka laluan baru untuk bantuan kemanusiaan.

Pejuang Palestin, Hamas mengutuk tindakan penurunan bantuan udara dan pembukaan koridor bantuan yang terhad itu sebagai satu langkah simbolik dan mengelirukan yang bertujuan membersihkan imej Israel di mata dunia.

Dalam kenyataan pada Ahad, Hamas menyatakan Israel sedang mengalihkan tuntutan antarabangsa untuk menamatkan kepungan dan kempen kebuluran terhadap rakyat Palestin dan menuduhnya sebagai sebahagian daripada dasar terancang untuk menguruskan kebuluran, memaksa realiti tertentu serta meletakkan orang awam dalam bahaya dan penghinaan.

“Kemasukan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza bukan satu keistimewaan, tetapi hak asasi dan keperluan mendesak untuk menghentikan malapetaka yang dikenakan oleh pendudukan ala-Nazi,” kata Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN