AS nafi sokong serangan Israel di Syria, Sharaa ikrar lindungi kaum Druze - Utusan Malaysia

AS nafi sokong serangan Israel di Syria, Sharaa ikrar lindungi kaum Druze

ANGGOTA pasukan keselamatan Syria memandu melalui bandar Sweida dihuni komuniti Druze selepas serangan Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menegaskan negara itu tidak menyokong serangan terbaharu yang dilancarkan Israel terhadap wilayah Syria, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, pada Khamis.

Kenyataan itu hadir ketika Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, menuduh Israel cuba memecahbelahkan negaranya dan berikrar untuk melindungi komuniti minoriti Druze.

“Berkaitan campur tangan dan tindakan Israel, AS tidak menyokong serangan tersebut.

“Kami sedang menjalankan usaha diplomatik dengan Israel dan Syria di peringkat tertinggi untuk menangani krisis semasa dan mencari penyelesaian jangka panjang antara kedua-dua negara berdaulat,” kata Bruce dalam satu taklimat media.

Bruce turut menyatakan AS mengecam keganasan di Syria dan sedang berusaha ke arah meredakan ketegangan di rantau itu.

Namun, beliau enggan mengulas sama ada Washington menyokong hak Israel melancarkan operasi ketenteraan sedemikian.

“Apa yang kita hadapi sekarang ialah episod khusus ini. Saya rasa kami telah menyatakan dengan jelas ketidakpuasan hati kami termasuk dari Presiden sendiri, dan kami bertindak pantas untuk menghentikannya,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt pula memaklumkan Syria dilihat mula menarik balik tenteranya dari kawasan yang terlibat dalam pertempuran tersebut.

“Syria bersetuju untuk mengundurkan tentera dari kawasan yang sedang bergolak dan kami masih memantau situasi dengan rapi,” katanya.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Sharaa berkata, Israel secara konsisten menyerang kestabilan negara itu dan menyemai perpecahan sejak kejatuhan rejim terdahulu.

Beliau menegaskan bahawa perlindungan terhadap warga Druze merupakan keutamaan nasional dan sebarang pencabulan terhadap komuniti itu akan dikenakan tindakan tegas.

“Kami tidak akan benarkan mana-mana pihak luar mengeksploitasi masyarakat kami. Kami akan lindungi saudara-saudara Druze kami dengan segala kemampuan yang ada,” tegas Sharaa.

Beliau turut berterima kasih kepada usaha pengantaraan oleh AS, negara-negara Arab dan Turki dalam mengelakkan bencana yang lebih besar, namun memberi amaran kepada Israel supaya tidak terus campur tangan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN