KAHERAH: Institusi Islam terkemuka Mesir, Universiti Al-Azhar menerima kritikan hebat minggu ini selepas memadam satu kenyataan tegas yang mengecam genosid Israel di Gaza dari akaun media sosial rasminya dipercayai disebabkan tekanan daripada Kementerian Luar Mesir.
Kenyataan berkenaan yang dimuat naik pada 22 Julai lalu, menyelar Israel kerana melakukan jenayah genosid dan dengan sengaja menyebabkan kebuluran ke atas rakyat Palestin di Gaza disamping turut memberi amaran semua pihak yang menyokong jenayah tersebut, secara langsung atau tidak, akan dipertanggungjawabkan.
“Mana-mana pihak yang membekalkan senjata kepada entiti ini, menyokongnya melalui resolusi politik, atau mengeluarkan kata-kata hipokrit kononnya atas nama keamanan, adalah rakan sejenayah dalam pembunuhan beramai-ramai ini,” kata kenyataan Al-Azhar yang telah dipadam itu.
Tindakan memadam kenyataan tersebut tanpa sebarang penjelasan mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial, termasuk tuduhan campur tangan politik dalam urusan institusi agama.
Menurut laporan media tempatan Mesir, penarikan semula kenyataan itu berlaku selepas komunikasi langsung daripada Menteri Luar Negeri Mesir, Badr Abdelatty, yang didakwa meminta Al-Azhar menarik balik kenyataan itu bagi mengelakkan gangguan terhadap rundingan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Jika Al-Azhar tidak menarik balik kenyataan itu, rundingan bantuan akan terganggu sepenuhnya,” kata satu sumber yang rapat dengan Sheikh Besar Al-Azhar, Imam Ahmed Al-Tayyeb seperti dipetik media Mesir.
Akhirnya, di bawah tekanan diplomatik, Sheikh Al-Tayyeb bersetuju untuk memadam kenyataan tersebut.
Selepas tindakan itu dikritik hebat, Al-Azhar mengeluarkan kenyataan penjelasan dengan menyifatkan keputusan memadam kenyataan asal sebagai satu tindakan bertanggungjawab secara moral.
“Al-Azhar dengan penuh keberanian dan tanggungjawab menarik semula kenyataan tersebut kerana menyedari ia mungkin akan digunakan oleh pihak penjajah sebagai alasan untuk menggagalkan rundingan gencatan senjata dan menghalang bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza,” menurut kenyataan susulan itu.
Namun begitu, ramai pihak, terutamanya penyokong hak rakyat Palestin, menganggap tindakan Al-Azhar sebagai tunduk kepada tekanan politik dan melemahkan suara moral Islam dalam menegakkan keadilan.
Tindakan Al-Azhar yang dianggap menutup suara terhadap kekejaman tersebut, dilihat sebagai satu tamparan kepada perjuangan rakyat Palestin yang bergantung harap kepada sokongan umat Islam sedunia.meskipun institut tersebut tetap menegaskan pendirian mereka tetap konsisten dalam menyokong perjuangan Palestin. -AGENSI










