245 remaja Russia terkorban akibat ‘dipaksa berperang’ di Ukraine

245 remaja Russia terkorban akibat ‘dipaksa berperang’ di Ukraine

ALEXANDER (kiri) dan Vitaly terbunuh tidak lama selepas menyertai perang Russia di Ukraine pada Februari lalu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Meskipun Presiden Russia, Vladimir Putin berulang kali menegaskan remaja berumur 18 tahun yang dipanggil menyertai perkhidmatan tentera tidak akan dihantar ke medan perang di Ukraine, namun satu siasatan yang dilakukan oleh BBC Russia mendedahkan sebaliknya.

Menurut laporan itu, seramai 245 remaja lelaki berusia 18 tahun yang menyertai tentera sebagai anggota kontrak terkorban dalam konflik berdarah tersebut sejak dua tahun lalu.

Pengenalan dasar baharu kerajaan membenarkan remaja yang baru tamat sekolah menengah untuk terus menyertai angkatan tentera sebagai askar kontrak tanpa menjalani khidmat wajib tentera seperti kebiasaan.

Imbuhan wang yang lumayan dan propaganda patriotik dilihat menjadi faktor utama remaja dari wilayah-wilayah miskin menyertai ketenteraan.

Seorang daripadanya, Alexander Petlinsky, menyertai tentera hanya dua minggu selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-18 sebelum dia terbunuh di Ukraine selepas 20 hari berkhidmat.

Menurut ibu saudaranya, Ekaterina, Alexander sebenarnya bercita-cita menjadi doktor dan sudah mendapat tempat di sebuah kolej perubatan di Chelyabinsk, wilayah perindustrian di Pergunungan Ural.

“Tetapi dia juga menyimpan impian untuk berjuang di medan perang sejak usianya 15 tahun,” katanya pada satu majlis peringatan di sekolah.

Sementara itu, seorang lagi remaja, Vitaly Ivanov dari sebuah kampung di Siberia yang menghadapi masalah dengan pihak polis, juga menyertai tentera selepas dituduh merompak dan keluarganya tidak menolak kemungkinan dia dipaksa menyertai tentera selepas tekanan daripada pihak berkuasa.

Vitaly yang dijadualkan ke Kazan untuk bekerja dalam bidang pembinaan bersama rakannya, akhirnya dihantar ke Ukraine dan dia terkorban dalam pertempuran pertamanya pada 11 Februari, hanya seminggu selepas menghantar mesej terakhir kepada ibunya.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 2,812 remaja lelaki Russia berusia antara 18 hingga 20 tahun telah terkorban di Ukraine sejak permulaan perang pada Februari 2022. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×