20 terkorban nahas pesawat tentera, pemimpin dunia ucap takziah buat Bangladesh - Utusan Malaysia

20 terkorban nahas pesawat tentera, pemimpin dunia ucap takziah buat Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Beberapa pemimpin dunia berdukacita susulan nahas pesawat tentera Bangladesh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 nyawa, termasuk pelajar sekolah, serta mencederakan lebih 170 orang.

Negara jiran seperti India, Pakistan dan Maldives turut menghulurkan ucapan takziah kepada Bangladesh berhubung tragedi itu.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8, yang turut dianggotai Bangladesh, menyatakan simpati mendalam terhadap kehilangan nyawa tersebut dan berdiri teguh bersama rakyat serta kerajaan Bangladesh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari ibu pejabatnya di Istanbul, D-8 menyatakan:

“Kami bersolidariti dengan kerajaan dan rakyat Bangladesh dalam detik penuh duka ini. Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa dan semua yang terkesan. Kami juga mendoakan agar semua yang cedera segera sembuh,” katanya.

Pesawat pejuang F-7 BGI buatan China milik Tentera Udara Bangladesh itu terhempas ke bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara, Dhaka.

Antara yang maut ialah juruterbang pesawat, Leftenan Penerbangan Toukir Islam.

Menurut kenyataan tentera, nahas berlaku akibat kerosakan mekanikal hanya beberapa minit selepas pesawat itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Bangladesh AK Khandaker di Kurmitola pada pukul 1.06 tengah hari waktu tempatan, semasa menjalani latihan rutin.

Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam satu hantaran di platform X berkata, India bersama keluarga mangsa dan sentiasa mendoakan semua yang cedera segera sembuh, selain bersedia memberi apa jua bentuk bantuan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula meluahkan kesedihannya atas insiden itu.

“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa akibat nahas pesawat di Milestone School, Dhaka. Takziah ikhlas saya kepada rakyat Bangladesh, terutama keluarga mangsa termasuk ramai kanak-kanak. Pakistan bersama mereka dalam saat getir ini,” katanya.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu juga menyampaikan ucapan takziahnya.

Susulan tragedi ini, Bangladesh mengisytiharkan Selasa sebagai hari berkabung negara.

Sebuah pasukan siasatan khas turut ditubuhkan untuk mengenal pasti punca nahas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN