GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa bantuan perubatan pertama telah dihantar ke Semenanjung Gaza sejak 2 Mac lalu namun menyifatkan penghantaran sembilan buah trak itu terlalu sedikit.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, penghantaran pada Rabu yang merangkumi bekalan perubatan penting, plasma dan darah akan diagihkan ke hospital-hospital utama di wilayah Palestin tersebut dalam beberapa hari akan datang.
Penghantaran dibuat melalui lintasan Kerem Shalom sejak Israel mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza sejak 2 Mac.
Lebih dua bulan kemudian, hanya makanan dibenarkan masuk manakala bantuan lain seperti ubat-ubatan baru dibenarkan sekarang.
“Sebanyak sembilan trak membawa bekalan perubatan penting, 2,000 unit darah dan 1,500 unit plasma telah dihantar tanpa sebarang kejadian rompakan walaupun laluan penghantaran berisiko tinggi,” kata Tedros dalam satu kenyataan di platform X.
Bekalan darah dan plasma itu telah dihantar ke fasiliti penyimpanan sejuk Kompleks Perubatan Nasser untuk diagihkan ke hospital-hospital yang berdepan kekurangan kritikal terutamanya ketika jumlah kecederaan meningkat dengan sebahagian besar daripadanya berpunca dari insiden di lokasi pengagihan makanan.
WHO sebelum ini melaporkan bahawa hanya 17 daripada 36 hospital di Gaza masih berfungsi secara minimum atau separa manakala selebihnya tidak dapat beroperasi langsung akibat kekurangan tenaga, bekalan dan kerosakan infrastruktur.
Tedros turut memaklumkan bahawa empat lagi trak WHO masih berada di lintasan Kerem Shalom dan beberapa lagi sedang dalam perjalanan ke Gaza.
“Namun, bekalan perubatan ini hanyalah ‘setitis dalam lautan’. Bantuan berskala besar amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.
WHO menyeru agar penghantaran bantuan kesihatan ke Gaza dilakukan dengan segera, tanpa halangan dan secara berterusan melalui semua laluan yang tersedia.-AGENSI










