Lima negara sekat dua menteri kanan Israel

Lima negara sekat dua menteri kanan Israel

ITAMAR Ben Gvir (kiri) dan Bezalel Smotrich ketika menghadiri sesi Parlimen Israel. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK), Kanada dan beberapa sekutu Barat mengumumkan sekatan terhadap dua menteri kanan kerajaan Israel berhaluan kanan ekstrem kerana didakwa berulang kali menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Langkah bersama ini mencerminkan kecaman yang semakin meningkat dari Barat terhadap tindakan Israel di Tebing Barat dan Gaza.

Menurut kerajaan UK, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich akan dikenakan larangan perjalanan serta pembekuan aset.

Kedua-dua menteri ini menge­tuai parti politik berhaluan kanan yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan rapuh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Mereka sering dikritik kerana kenyataan berbaur hasutan berkaitan dengan Tebing Barat yang diduduki serta pendirian mereka mengenai perang di Gaza.

Sekatan ini dilaksanakan secara bersama oleh Australia, Kanada, New Zealand, Norway dan UK, menurut kenyataan bersama lima menteri luar negara berkenaan.

“Kami komited terhadap penyelesaian dua negara, satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan maruah rakyat Israel dan Palestin serta menjamin kestabilan jangka panjang di rantau ini.

Namun ia terancam akibat keganasan pelampau penempatan haram dan perluasan penempatan,” kata kenyataan tersebut.

“Ben-Gvir dan Smotrich menghasut keganasan pelampau serta pencabulan serius terhadap hak asasi rakyat Palestin. Retorik ekstrem yang menyeru pengusiran paksa rakyat Palestin dan pembinaan penempatan baharu Israel adalah menjijikkan dan berbahaya.

“Kami telah membangkitkan isu ini secara meluas dengan kerajaan Israel, namun pelaku keganasan terus bertindak dengan galakan dan kekebalan,” kata kenyataan itu.

Sekatan yang dikenakan oleh lima negara Barat ini satu perubahan ketara dalam dasar berbanding Amerika Syarikat (AS).

AS turut menyeru agar konflik di Gaza ditamatkan, namun minggu lalu, AS menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata kekal di Gaza.

Walaupun sekatan ini berkait dengan situasi di Tebing Barat, kenyataan bersama itu menyebut kelima-lima negara itu turut kecewa dengan penderitaan besar yang ditanggung oleh orang awam, termasuk penafian bantuan kemanusiaan penting di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN