PARIS: Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump perlu memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar menghentikan perang di Gaza.
Beliau menyifatkan perang yang berterusan itu sebagai satu jenayah dan menegaskan penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan keluar dari konflik tersebut.
Dalam temu bual bersama agensi berita AFP di Paris, Olmert yang memimpin Israel dari tahun 2006 hingga 2009 berkata, AS mempunyai pengaruh paling besar terhadap kerajaan Israel dan menurutnya, jika Trump bertindak, keadaan boleh berubah.
“Netanyahu gagal sepenuhnya sebagai pemimpin kerana tidak berjaya menghalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang,” kata Olmert.
Beliau menjelaskan pada mulanya dunia menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi pandangan itu mula berubah apabila Netanyahu enggan menamatkan perang pada Mac lalu ketika berpeluang dan terus melancarkan lebih banyak serangan.
Olmert juga mendakwa Netanyahu lebih mementingkan kepentingan dirinya sendiri daripada kepentingan negara.
Penganalisis politik percaya Netanyahu takut kehilangan kuasa jika dia menghentikan perang kerana bimbang kehilangan sokongan ahli parti dalam kerajaan, menumbangkan kerajaaan dan memaksanya mengadakan pilihan raya yang boleh menyebabkan beliau tewas.
“Kalau perang ini gagal selamatkan tebusan, tidak dapat melumpuhkan Hamas sepenuhnya dan menyebabkan askar serta rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh, maka pada saya ini adalah satu jenayah,” tegas Olmert sambil menambah ia adalah sesuatu yang perlu dikecam, bukan diterima.
Beliau berkata Trump seharusnya memanggil Netanyahu ke Rumah Putih dan di hadapan kamera berkata ‘Bibi, cukup cukuplah’.
“Inilah masanya. Saya harap Trump akan melakukannya. Dengan Trump, apa-apa boleh terjadi. Kita cuma boleh berharap dan beri dorongan kepadanya,” katanya.










