Kerah 4,700 tentera ke LA, Trump mahu ‘perang’ di negara sendiri

Trump mahu ‘perang’ di negara sendiri

PENGAWAL Kebangsaan dan pegawai polis Persekutuan berkawal ketika sekumpulan penunjuk perasaan merusuh di hadapan Bangunan Persekutuan di Los Angeles, California. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghantar lebih ramai anggota tentera ke Los Angeles bagi menangani siri tunjuk pera­saan yang semakin memuncak, mengatasi jumlah pasukan pertahanan negara itu yang ditempatkan di Iraq dan Syria.

Menurut Timbalan Panglima Komander Tentera Darat AS, Mejar Jeneral Scott Sherman, seramai 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan dan 700 anggota marin dikerahkan ke bandar itu, menjadikan jumlah keseluruhan 4,700 anggota keselamatan.

Sebagai perbandingan berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pentagon, AS kini mempunyai sekitar 2,000 anggota tentera di Syria dan 2,500 di Iraq.

Penempatan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap protes ganas yang tercetus ekoran serbuan imigresen agresif pentadbiran Trump.

Pentagon turut memaklumkan, penempatan anggota Pengawal Kebangsaan dan Marin AS di Los Angeles dijangka menelan kos sebanyak AS$134 juta (RM566 juta) bagi tempoh dua bulan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS dilaporkan mencadangkan penghantaran lebih 20,000 anggota tambahan bagi menyokong operasi membanteras pendatang, yang dianggarkan bakal menelan kos AS$3.6 bilion (RM15.2 bilion) setahun.

PROTES MENGGANAS

Menurut Reuters, anggota tentera yang dihantar ke Los Angeles diberi kuasa menahan individu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Protes yang pada awalnya tertumpu di California kini merebak ke beberapa negeri lain, dengan ribuan rakyat berhimpun di jalan-jalan utama membantah tindakan keras terhadap pendatang dan penguatkuasaan imigresen yang dianggap keterlaluan.

Tindakan Trump menghantar anggota tentera ke Los Angeles turut mencetuskan ketegangan politik, khususnya dengan kerajaan negeri California.

Kerajaan negeri California memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan berhubung penempatan tentera tersebut.

Pentagon menjelaskan kehadiran tentera itu bertujuan melindungi bangunan kerajaan dan kakitangan, termasuk pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) semasa operasi serbuan.

Beberapa gambar yang dimuat naik ICE menunjukkan anggota Pengawal Kebangsaan bersenjata berdiri berhampiran pegawai imigresen yang menggari individu disyaki pendatang tanpa dokumen di sebuah lokasi di Los Angeles.

Penempatan tentera ini turut menimbulkan persoalan mengenai pelanggaran terhadap Akta Posse Comitatus 1878, yang secara amnya melarang penggunaan tentera dalam penguatkuasaan undang-undang sivil.

Trump bagaimanapun mempertahankan tindakan tersebut dan mendakwa kehadiran tentera berjaya mengelakkan kekacauan yang lebih besar.

PENAHANAN DI LUAR MAHKAMAH

Ribuan pendatang kini gusar diusir secara paksa walaupun mahkamah membenarkan mereka tinggal di AS malah, hakim juga terpaksa ‘bergelut’ dengan ICE yang sesuka hati menahan warga asing seumpama tidak menghormati undang-undang serta Perlembagaan negara.

Tindakan penahanan pe­mohon suaka di luar bilik mahkamah semakin meningkat susulan arahan pentadbiran Trump untuk mempercepatkan proses pengusiran besar-besaran.

Penahanan besar-besaran yang bermula sejak Mei lalu menimbulkan ketakutan dalam kalangan pendatang dan pemohon suaka yang sebelum ini bebas tinggal di AS sementara kes mereka melalui proses perbicaraan.

Kini mereka berdepan dilema antara hadir ke mahkamah dengan risiko ditahan serta-merta, atau tidak hadir dan kehilangan peluang untuk terus menetap di AS.

Lapor media, hakim akan membenarkan permintaan peguam kerajaan untuk menutup kes pengusiran dan sejurus selepas itu, pegawai ICE bertopeng akan menahan individu terbabit di luar bilik mahkamah dan memulakan proses pengusiran pantas dikenali sebagai ‘expedited removal’.

Pada Januari lalu, Trump memperluaskan kuasa pengusiran pantas, membolehkan pegawai imigresen menghantar pulang seseorang tanpa perlu melalui proses mahkamah.

Walaupun proses ini boleh ditangguhkan dengan membuat tuntutan suaka baharu, mereka yang gagal dalam saringan awal boleh diusir dengan segera.

Seorang wanita transgender dari Mexico yang dikenali dalam dokumen mahkamah sebagai O-J-M, ditahan di luar mahkamah selepas hakim meluluskan permintaan kerajaan untuk menutup kesnya.

Dalam keterangan mahkamah, O-J-M mengakui menyeberang pada September 2023, dua tahun selepas dirogol oleh ahli kartel kerana identiti jantinanya tetapi sepanjang di AS, dia sentiasa melaporkan diri kepada pejabat ICE seperti diarahkan.

Menurut peguamnya, Kathleen Pritchard, beliau tidak dapat menghubungi anak guamnya untuk panggilan undang-undang tanpa rakaman selama beberapa hari.

“Apabila seseorang ‘hilang’ tiba-tiba dan tidak dapat pula menghubungi peguam, jauh dari keluarga atau komuniti, mereka lebih mudah menyerah s,” kata Pritchard.

Pengarah Strategi Innovation Law Lab, Isa Pena pula mendakwa, pentadbiran AS kini memanipulasi sistem mahkamah dengan niat tidak baik untuk melancarkan pengusiran pantas.

ICE juga menggunakan taktik agresif dengan arahan Timbalan Ketua Staf Rumah Putih, Stephen Miller, yang menetapkan 3,000 tangkapan setiap hari.

Di Atlanta, Hakim, Andrew Hewitt mempertikaikan tindakan seorang peguam ICE yang meminta kes beberapa individu dari Amerika Selatan dan Tengah ditutup agar mereka boleh dihantar pulang segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN