Berang kereta ditahan, lelaki lepas lebah serang polis trafik

Berang kereta ditahan, lelaki lepas lebah serang polis trafik

SEORANG penternak lebah di Sepanyol melepaskan serangga berbisa itu kepada anggota polis trafik yang menahan keretanya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LLEIDA: Seorang lelaki warga emas di Sepanyol melepaskan ribuan lebah peliharaannya ke arah polis trafik yang menahannya kerana memandu secara berbahaya tanpa memakai tali pinggang keledar.

Kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu di jalan N-II berhampiran bandar kecil Cervera, wilayah Catalonia, apabila anggota polis tempatan menahan sebuah van yang dipandu secara mencurigakan.

Lelaki berusia 70 tahun itu, yang merupakan seorang pemelihara lebah, mula menunjukkan sikap agresif sebaik sahaja ditahan, malah menyatakan mahu melanggar polis trafik berkenaan.

Memetik laporan akhbar Segre, polis trafik kemudian meminta lelaki itu menjalani ujian alkohol kerana mengesyaki dia berada di bawah pengaruh minuman keras.

Bacaan pertama menunjukkan paras alkohol sebanyak 0.38mg/l, melepasi had yang dibenarkan namun, apabila diminta mengulangi ujian tersebut untuk pengesahan, lelaki berkenaan tiba-tiba naik angin dan mengugut akan membunuh anggota polis terbabit.

Serangan mengejut itu menyebabkan kedua-dua polis terbabit disengat beberapa kali dan terpaksa lari menyelamatkan diri ke sebuah restoran berhampiran untuk berlindung, sementara lelaki berkenaan beredar dari lokasi dengan tenang.

Polis kemudian menghubungi pasukan bantuan sebelum berjaya mengesan semula suspek dan menahannya bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan beberapa jam kemudian selepas memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, kedua-dua anggota polis yang cedera akibat sengatan lebah dikejarkan ke hospital dan diberikan suntikan kortisol bagi mengurangkan kesan alergi.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, suspek dibebaskan daripada tuduhan jenayah menyerang penjawat awam, namun maklumat ini belum dapat disahkan secara rasmi oleh pihak kehakiman.

Kejadian ini mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan netizen Sepanyol yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai sangat berbahaya, selain memperlihatkan betapa binatang peliharaan juga boleh digunakan sebagai ‘senjata’ dalam situasi tidak diduga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×