BANGKOK: Tentera Thailand menyatakan kesediaan melancarkan operasi ketenteraan peringkat tertinggi bagi mempertahankan kedaulatan negaranya jika pertikaian sempadan dengan Kemboja terus memuncak, susulan insiden pertembungan berdarah yang berlaku minggu lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Khamis, tentera memaklumkan, risikan mereka mendapati Kemboja sudah meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan di kawasan sempadan, meskipun usaha diplomasi sedang berlangsung.
Katanya, tindakan itu digambarkan sebagai sesuatu yang membimbangkan.
SIAP SIAGA PERANG
Kenyataan tersebut jelas berbeza dengan nada lebih lembut daripada pihak kerajaan Thailand beberapa jam sebelumnya, yang menyeru Kemboja mengambil pendekatan positif dalam dialog menerusi mekanisme sedia ada antara kedua-dua negara.
“Tentera kini bersedia untuk melancarkan operasi ketenteraan peringkat tinggi sekiranya perlu bagi membalas sebarang pelanggaran terhadap kedaulatan negara.
“Operasi unit-unit di sempadan dilaksanakan dengan cermat, tenang dan berdasarkan kefahaman terhadap situasi, demi mengelakkan korban daripada semua pihak.
“Namun pada masa yang sama, tentera bersedia mempertahankan kedaulatan negara sepenuhnya sekiranya keadaan memerlukan,” kata kenyataan itu menjelang mesyuarat barisan tertinggi angkatan tentera dipetik Reuters.
Pertikaian terbaharu antara kedua-dua negara tercetus selepas insiden tembak-menembak pada 28 Mei di kawasan sempadan yang belum dimuktamadkan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.
Kes berbalas serangan itu berlaku sehari selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, yang mengulangi komitmen negara anggota terhadap keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.
Thailand mendakwa tentera Kemboja menceroboh kawasan pertikaian, melanggar perjanjian dan melepaskan tembakan ke arah tenteranya apabila didekati, mendorong tentera Thailand menembak balas.
Sejak itu, kedua-dua kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi yang disusun rapi, menzahirkan komitmen kepada dialog.
Meskipun Thailand dan Kemboja mempunyai sejarah permusuhan yang panjang, hubungan antara kerajaan kedua-dua negara kekal mesra.
Ia banyak didorong oleh hubungan peribadi yang rapat antara bekas pemimpin masing-masing, terutamanya Thaksin Shinawatra dari Thailand dan Hun Sen dari Kemboja.
Kini, anak kepada kedua-dua tokoh berpengaruh itu masing-masing menjadi Perdana Menteri di negara mereka.
TIDAK IKTIRAF ICJ
Isu ini muncul ketika kerajaan pimpinan Parti Pheu Thai di Thailand bergelut memulihkan ekonomi yang suram, dengan tekanan tambahan daripada kemungkinan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat (AS).
Pada masa sama, kerajaan turut berdepan penurunan sokongan rakyat selepas menangguhkan pelaksanaan inisiatif bantuan tunai besar-besaran kepada puluhan juta rakyat.
Parti politik keluarga jutawan Thaksin mempunyai sejarah hubungan yang tegang dengan tentera Thailand, yang dua kali menggulingkan pentadbiran mereka menerusi rampasan kuasa pada tahun 2006 dan 2014.
Kali terakhir pertempuran maut tercetus antara Thailand dan Kemboja pada tahun 2011, melibatkan kawasan Kuil Preah Vihear.
Kuil berusia 900 tahun itu menjadi punca pertikaian sempadan selama beberapa dekad dan sering mencetuskan semangat nasionalisme di kedua-dua negara.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2013 mengesahkan keputusan awal pada tahun 1962 yang memberikan kuasa kedaulatan kuil tersebut kepada Kemboja dan mengarahkan tentera Thailand berundur dari kawasan berkenaan.
Minggu ini, Kemboja menyatakan komitmennya terhadap keamanan dan berhasrat menyelesaikan pertikaian itu dengan merujuk empat kawasan sempadan yang masih belum dimuktamadkan itu ke ICJ.
Ia turut meminta Thailand untuk bekerjasama dalam proses itu.
Namun, Thailand menegaskan pihaknya tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ dalam isu tersebut.