BALATA: Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berusia tiga tahun cedera parah diserang anjing tentera Israel dalam satu serbuan ke atas kem pelarian Balata, Tebing Barat, Februari tahun lalu.
Insiden ngeri itu berlaku hanya beberapa saat selepas anggota tentera Israel memasuki rumah keluarga Hashash ketika operasi besar-besaran dijalankan di kawasan tersebut.
Menurut ibu mangsa, Amani Hashash, beliau bersama empat orang anaknya berlindung di dalam sebuah bilik apabila terdengar bunyi ketibaan tentera Israel dan beliau menjerit menyatakan mereka berada di dalam rumah dan tidak membawa ancaman namun tidak lama kemudian, pintu bilik dibuka dan seekor anjing besar yang tidak dipasang muncung menerkam masuk dan terus menggigit Ibrahim yang sedang tidur di pangkuannya.
“Saya pukul dan tarik anjing itu, tapi ia terlalu besar dan terus menggigit serta menyeret anak saya keluar. Saya merayu pada askar, tapi mereka tak mampu kawal anjing itu,” katanya.
Ibrahim akhirnya tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan teruk sebelum dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan kecemasan manakala doktor menyatakan kecederaan anak kecil itu sangat kritikal dengan luka sepanjang enam setengah sentimeter serta sejumlah besar gigitan di bahagian belakang badannya sehingga menerima 42 jahitan dan 21 suntikan untuk merawat jangkitan.
Lebih setahun selepas kejadian, Ibrahim masih mengalami trauma dan mimpi ngeri dan Hashash mendakwa seorang komander tentera Israel memberitahunya anjing berkenaan telah dilatih untuk menyerang sesiapa sahaja yang pertama dilihat.
Menurut siasatan bersama The Guardian dan Arab Reporters for Investigative Journalism (ARIJ), anjing yang digunakan oleh unit khas Israel, Oketz, dipercayai dibeli dari Eropah, terutamanya dari Belanda dan Jerman.
Oketz menyatakan anjing hanya digunakan dalam operasi antikeganasan namun organisasi hak asasi manusia di Gaza dan Tebing Barat mendakwa penggunaan anjing untuk menakut-nakutkan dan mencederakan orang awam Palestin semakin meningkat sejak perang Gaza bermula.
Menurut Euro Med Human Rights Monitor, sebanyak 146 kes penggunaan anjing untuk menyerang orang awam oleh tentera Israel telah direkodkan sejak Oktober 2023.
Organisasi hak asasi Palestin, Al-Haq, turut merekodkan sekurang-kurangnya 18 kes serangan anjing tentera Israel ke atas orang awam di Tebing Barat sejak Oktober 2023, termasuk terhadap kanak-kanak.
Amnesty International pula menggesa supaya penggunaan anjing dalam konflik diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa sebagai senjata konvensional dan dikawal di bawah perjanjian senjata global.
Dalam kenyataan balas, Tentera Pertahanan Israel (IDF) menegaskan penggunaan anjing dalam operasi mereka mematuhi undang-undang antarabangsa dan hanya untuk tujuan keselamatan.
“IDF, termasuk unit Oketz, hanya menggunakan anjing berdasarkan keperluan operasi yang jelas. Kami menitikberatkan kebajikan anjing-anjing ini dan memastikan mereka mendapat latihan dan pengawasan yang mencukupi,” kata kenyataan itu.










