LONDON: Lebih satu daripada 10 ibu bapa di United Kingdom (UK) mendakwa anak mereka mahu ponteng sekolah kerana keadaan tandas yang terlalu kotor dan tidak terurus, menurut satu kajian oleh badan kebajikan pendidikan Parentkind.
Dalam tinjauan terhadap 2,000 ibu bapa, sekitar 17 peratus menilai tandas di sekolah anak mereka sebagai tidak bersih manakala 11 peratus mengatakan anak mereka pernah tidak hadir atau meminta untuk tinggal di rumah kerana enggan menggunakan tandas sekolah.
Malah, 31 peratus keluarga menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak sekolah berhubung keadaan tandas tersebut.
Seorang ibu bapa memberitahu Parentkind, anaknya seolah-olah melangkah masuk ke dalam filem seram apabila menggunakan tandas sekolah manakala seorang lagi melaporkan anaknya pernah ternampak lipas berkeliaran dalam tandas.
Sebilangan ibu bapa yang ditemu bual mendakwa anak mereka terpaksa menahan kencing hingga terkencing di dalam kelas atau mengalami sembelit kerana enggan menggunakan tandas sekolah yang kotor dan tidak terurus.
Ketua Eksekutif Parentkind, Jason Elsom menyeru agar dana yang diumumkan dalam semakan belanjawan kerajaan digunakan untuk membaik pulih tandas sekolah sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf infrastruktur pendidikan.
“Dengan sejuta kanak-kanak berdepan penghinaan akibat tandas sekolah yang menjijikkan, kita perlu menumpukan perhatian kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka yang enggan minum air pada waktu sekolah kerana takut ke tandas dan berjuta pula menderita sembelit,” katanya.









