Tanah di Afrika Selatan meninggi daripada paras laut

Tanah di Afrika Selatan meninggi daripada paras laut

PARAS laut kebiasaannya semakin tinggi daripada permukaan tanah, namun di Afrika Selatan, keadaan itu berbeza. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Kumpulan saintis mendapati sebahagian permukaan tanah di Afrika Selatan meninggi daripada permukaan laut, satu fenomena luar biasa yang sebelum ini dianggap berpunca daripada aliran mantel di bawah kerak bumi.

Namun kajian baharu mendedahkan, perubahan iklim, khususnya kemarau melampau dan kehilangan air bawah tanah, sebenarnya menjadi punca utama kepada kejadian luar jangka itu.

Berdasarkan pemantauan menggunakan rangkaian penerima Sistem Kedudukan Global (GPS) statik yang merangkumi seluruh negara, saintis dapat membuat pengukuran tepat terhadap ketinggian tanah di beberapa kawasan.

Penyelidik mendapati, kawasan yang mengalami kenaikan mendadak sehingga dua milimeter setahun merupakan kawasan yang berdepan krisis kekurangan air paling serius.

“Kami percaya kehilangan air bawah tanah dan permukaan adalah punca kepada kenaikan tanah ini,” ujar Dr. Makan Karegar dari Universiti Bonn, Jerman.

Sebelum ini, pakar geologi mengaitkan fenomena itu dengan Quathlamba hotspot, satu struktur tiub yang membawa bahan panas dari teras bumi ke permukaan, sekali gus dipercayai menyebabkan penggelembungan tanah.

Namun kajian terbaharu oleh pasukan penyelidik Universiti Bonn menolak teori tersebut apabila mendapati terdapat hubungan langsung antara kadar hujan dan kenaikan tanah di sesuatu kawasan.

Menurut kajian itu, kenaikan tanah ini dijangka bersifat ‘episodik’ dan bukan kekal namun, jika kadar hujan terus merosot akibat perubahan iklim global, tanah mungkin terus naik secara purata sehingga takungan air bawah tanah habis sepenuhnya.

Walaupun kenaikan ini tidak dijangka membawa kesan fizikal besar buat masa ini, saintis melihat potensi penggunaan data GPS sebagai alat pemantauan air bawah tanah secara masa nyata.

Kaedah itu lebih murah dan praktikal berbanding teknologi lain, selain boleh menjadi alat penting dalam pengurusan sumber air, terutamanya ketika dunia berdepan krisis kemarau yang semakin ke­rap dan teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN