Suami Dr. Alaa meninggal dunia, anak masih dirawat

Suami Dr. Alaa meninggal dunia, anak masih dirawat

HAMDI al-Najjar (tengah) meninggal dunia akibat kecederaan parah kediamannya dibom tentera Israel yang turut mengorbankan sembilan anaknya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seorang doktor yang kehilangan sembilan daripada 10 anaknya dalam serangan udara tentera Zionis di Khan Younis, selatan Gaza, pada 23 Mei lalu, meninggal dunia kerana kece­deraan parah dalam serangan sama.

Dr. Hamdi al-Najjar, 40, yang bertugas di Kompleks Perubatan Nasser, sebelum ini kritikal selepas rumah keluarganya dibedil tentera Israel ketika beliau baru pulang menghantar isterinya, Dr. Alaa seorang pakar pediatrik di hospital yang sama.

Pakar perubatan memaklumkan, Hamdi mengalami kece­deraan serius termasuk kerosakan otak, patah tulang akibat serpihan bom, serta kecederaan parah di dada.

Beliau memakai mesin bantuan pernafasan serta beberapa tiub perubatan, namun akhirnya disahkan meninggal dunia kelmarin.

Sebelum ini, berikutan rayuan oleh bapa saudaranya, Ali al-Najjar, 50, kerajaan Itali melalui laporan akhbar La Repubblica menyatakan kesediaan untuk membawa Adam iaitu satu-satunya anak pasangan itu yang terselamat ke negara berkenaan bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani memaklumkan pemindahan Adam dijangka dilaksanakan pada 11 Jun ini.

Itali turut menawarkan bantuan memindahkan ibu bapanya sekali, namun keadaan Hamdi yang terlalu kritikal menyukarkan proses pemindahan keluar dari Gaza.

Alaa kemudian bersetuju anak mereka dibawa ke Itali bersama seorang ibu saudara dan tiga sepupu, manakala beliau memilih untuk terus berada di sisi suaminya.

Susulan kematian Hamdi, sumber daripada Kementerian Luar Itali memaklumkan pihaknya kini mempertimbangkan untuk membawa Alaa keluar dari Gaza bagi bersama anaknya di Itali.

Serangan tragik terhadap keluarga ini mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa, termasuk badan-badan kemanusiaan yang mengecam kekejaman Israel yang disifatkan melampaui batas kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN