SINGAPURA: Penguasa Tanah Singapura (SLA) mewartakan perancangan pengambilalihan dua bidang tanah milik kerajaan Malaysia bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP).
Dalam kenyataan bersama, SLA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan kedua-dua bidang tanah berkenaan, berkeluasan 0.79 hektar, terletak berhampiran bahagian tengah tapak pembangunan semula, akan diambil alih oleh kerajaan Singapura.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua lot tersebut merupakan kawasan bersemak dan tidak digunakan.
SLA dan ICA berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilalihan itu.
“Kami akan meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia bagi memperkukuh kesalinghubungan dan hubungan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.
Pengambilalihan tanah di Singapura tertakluk kepada Akta Pengambilan Tanah (LAA), yang ditadbir oleh SLA.
Di bawah akta tersebut, pemilik tanah yang terlibat layak menerima pampasan berdasarkan nilai pasaran, namun boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditetapkan.
Menurut laporan, Singapura sebelum ini telah menghantar surat kepada Malaysia pada Mei 2022 dan November 2023 untuk mencadangkan pembelian tanah tersebut.
Laporan media pada Februari 2024 menyatakan bahawa cadangan itu masih dalam pertimbangan pihak berkuasa Malaysia.
ICA dan SLA berkata pembangunan semula dan peluasan WCP akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, dengan matlamat menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kesesakan kronik di laluan darat itu.
Pada 2024, jumlah pengembara harian di WCP meningkat 22 peratus kepada 327,000 berbanding 269,000 pada 2023, dan dijangka mencecah 400,000 orang sehari menjelang 2050.










