Saintis ketiga warga China didakwa seludup bahan biologi ke AS - Utusan Malaysia

Saintis ketiga warga China didakwa seludup bahan biologi ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang lagi saintis warga China ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi dakwaan menyeludup bahan biologi ke negara itu, menjadikan jumlah individu berkaitan yang ditahan kini mencecah tiga orang dengan semuanya mempunyai kaitan dengan makmal di Universiti Michigan.

Tertuduh, Chengxuan Han, ditahan di Lapangan Terbang Metropolitan Detroit pada Ahad lalu dan didakwa bagi kesalahan menyeludup bahan dari China yang dikatakan mengandungi spesimen biologi berkaitan cacing bulat (roundworms).

Menurut dokumen mahkamah, Han menghantar empat bungkusan dari China ke AS antara September lalu hingga Mac tahun ini, yang ditujukan kepada individu berkaitan dengan makmal penyelidikan di Universiti Michigan.

Pada mulanya, Han menafikan penglibatan dalam penghantaran bungkusan itu dan mendakwa ia hanya mengandungi cawan plastik namun, beliau kemudiannya mengaku bahan tersebut adalah sampel kajian dikumpul semasa menjalani pengajian kedoktoran di Wuhan, China.

Penahanan Han berlaku hanya beberapa hari selepas seorang felo pascakedoktoran Universiti Michigan, Yunqing Jian, 33, dan teman lelakinya, Zunyong Liu, 34, turut didakwa atas cubaan menyeludup bahan biologi berbahaya yang digelar sebagai ‘senjata agro-keganasan’, dipercayai mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China (PKC).

Siasatan turut menemui mesej antara Jian dan Liu mengenai penghantaran bahan biologi serta penyelidikan mereka sebelum Liu tiba di AS disamping turut didapati menerima dana daripada kerajaan China untuk kajian berkaitan patogen tersebut semasa beliau masih menetap di China.

Menurut agensi penyiasatan persekutuan (FBI), telefon bimbit Han telah dipadam sepenuhnya tiga hari sebelum beliau tiba di Amerika Syarikat (AS), satu tindakan yang mencetuskan kecurigaan lanjut terhadap niat sebenar kemasukannya.

Han turut didakwa berbohong kepada pegawai imigresen mengenai bungkusan yang dihantarnya di mana pada Mac lalu, beliau gagal dalam temuduga visa akibat tidak dapat menjawab soalan asas dalam bahasa Inggeris, tetapi berjaya dalam permohonan kedua hanya dua minggu kemudian.

Sementara itu, Universiti Michigan dalam kenyataannya menafikan menerima sebarang dana daripada kerajaan China berkaitan penyelidikan ketiga-tiga tertuduh dan mengecam sebarang tindakan yang mengancam keselamatan negara atau menjejaskan integriti universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN