Saintis beri amaran benua Afrika bakal terbelah dua

Saintis beri amaran benua Afrika bakal terbelah dua

REKAHAN besar sedang berlaku merentasi benua kedua terbesar di dunia iaitu Afrika bermula dari timur laut hingga ke selatan Afrika. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALES: Saintis memberi amaran mengenai satu rekahan besar sedang berlaku merentasi benua kedua terbesar di dunia iaitu Afrika bermula dari timur laut hingga ke selatan Afrika.

Dalam jangka panjang, seluruh benua berpotensi terpisah menjadikan Afrika Timur sebagai sebuah daratan berpantai sendiri yang terasing daripada benua induk.

Dalam kajian terbaharu, penyelidik menemui bukti wujudnya kesan gerakan batuan magma yang naik dari jauh di bawah permukaan bumi khususnya di bawah Ethiopia.

Gerakan ini secara perlahan-lahan membelah benua tersebut dan berkemungkinan membentuk lautan baharu, menurut penyelidik dari Universiti Swansea.

“Pemisahan ini akhirnya akan merebak ke seluruh Afrika. Ia sudah pun bermula dan sedang berlaku, namun pada kadar yang sangat perlahan antara lima hingga 16 milimeter setahun di bahagian utara zon rekahan tersebut,” kata ketua penyelidik, Dr Emma Watts.

Mengenai tempoh masa, Dr Watts menjelaskan proses pemisahan ini akan mengambil masa berjuta-juta tahun untuk selesai sepenuhnya.

Pasukannya turut merujuk kepada Teluk Aden, iaitu kawasan perairan sempit yang memisahkan benua Afrika di selatan dan Yemen di utara. Seperti koyakan kecil pada pakaian, pergerakan bumi yang menyebabkan pemisahan ini mungkin bermula di Teluk Aden dan perlahan-lahan merebak ke arah selatan.

Jika proses ini berterusan, rekahan tersebut bakal membelah beberapa tasik besar di Afrika Timur seperti Tasik Malawi dan Tasik Turkana.

Menjelang lima hingga sepuluh juta tahun akan datang, Afrika mungkin akan wujud sebagai dua daratan berasingan, satu daratan utama di barat yang merangkumi kebanyakan daripada 54 negara moden seperti Mesir, Algeria, Nigeria, Ghana dan Namibia.

Manakala daratan lebih kecil di timur pula dijangka merangkumi Somalia, Kenya, Tanzania, Mozambique dan sebahagian besar wilayah Ethiopia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×