LONDON: Rolls-Royce diumumkan sebagai pemenang tender bagi membangunkan reaktor nuklear modular kecil (SMR) pertama di United Kingdom (UK), sekali gus menewaskan dua syarikat milik Amerika Syarikat (AS).
Pengumuman itu dibuat oleh Great British Energy Nuclear dalam sebahagian daripada pelan kerajaan untuk mengangkat Britain ke barisan hadapan dalam teknologi tenaga nuklear, serta merancakkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui yang lebih stabil dan mampan.
Kerajaan turut menyatakan komitmen melabur sebanyak 14.2 bilion pound (RM84.6 bilion) bagi membina stesen tenaga nuklear besar Sizewell C di Suffolk, yang dijangka mampu menjana 3.2 gigawatt (GW) tenaga elektrik mencukupi untuk menampung keperluan sekitar enam juta kediaman.
Sebaliknya, setiap unit SMR oleh Rolls-Royce dijangka menghasilkan kira-kira 470 megawatt (MW) tenaga, dan kerajaan memaklumkan tiga unit SMR dijangka dibina bagi menjana sehingga 1.5GW tenaga secara keseluruhan.
Berbeza dengan loji tenaga berskala besar seperti Sizewell C, SMR direka bentuk secara modular dan dibina di kilang sebelum dipasang di lokasi sebenar, pendekatan yang diyakini lebih menjimatkan kos dan masa serta mampu mengatasi kelewatan besar yang menjejaskan projek Hinkley Point C sebelum ini.
Walau bagaimanapun, teknologi SMR masih belum terbukti sepenuhnya memandangkan tiada tapak seumpamanya yang beroperasi di mana-mana negara setakat ini namun, Rolls-Royce mempertahankan pendekatannya dengan menyatakan teknologi reaktor air bertekanan yang digunakan adalah terbukti selamat dan telah lama digunakan.
Syarikat itu juga optimis mampu menjana tenaga menjelang tahun 2032, dengan pusat data syarikat teknologi menjadi antara pelanggan sasarannya.
Setiausaha Tenaga, Ed Miliband berkata, pelaburan itu merupakan permulaan kepada era baharu tenaga nuklear di Britain.
Lokasi pembinaan SMR pertama di UK bagaimanapun masih belum diumumkan namun, penganalisis industri menjangkakan ia mungkin dibina berdekatan tapak loji nuklear lama seperti di Oldbury, Gloucestershire dan Wylfa, utara Wales.
Rolls-Royce yang berpangkalan di Derby menewaskan dua lagi pesaing utama AS iaitu Holtec dan GE Hitachi manakala satu lagi pesaing dari Kanada, Westinghouse, menarik diri lebih awal dari persaingan.










