TOKYO: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kwansei Gakuin, Jepun membuktikan permainan video bukan sahaja tidak merosakkan mata, malah berpotensi memulihkan masalah rabun dekat (myopia) jika digunakan dengan kaedah yang betul.
Dalam satu kajian berskala kecil yang dijalankan oleh Fakulti Siswazah Sains dan Kejuruteraan universiti berkenaan, seramai 10 peserta diminta bermain permainan video realiti maya (VR) mudah pada sela masa tertentu selama enam minggu.
Hasil pemerhatian mendapati, peserta yang bermain permainan tersebut secara berkala setiap tiga hari menunjukkan peningkatan ketara terhadap penglihatan mereka berbanding sebelum kajian bermula.
Pakar oftalmologi sebelum ini sememangnya mengetahui menatap skrin digital dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai pseudo-myopia, keadaan yang mirip rabun dekat tetapi bersifat sementara dan boleh dipulihkan.
Kaedah rawatan bagi pseudo-myopia lazimnya melibatkan senaman mata seperti regangan otot siliari, melihat objek dari jarak jauh, dan penglihatan stereoskopik binokular.
Berasaskan pengetahuan ini, penyelidik Jepun mencipta permainan VR yang menggabungkan semua elemen tersebut dalam satu pengalaman interaktif.
Dalam permainan berkenaan, pemain perlu menggunakan alat kawalan VR untuk membidik dan menembak sasaran berbentuk bulatan yang semakin jauh dengan setiap tembakan yang berjaya sekali gus melatih mata untuk fokus pada jarak dekat dan jauh secara berulang-ulang.
Lebih menarik, peserta yang mengalami tahap rabun dekat sederhana hingga teruk menunjukkan peningkatan penglihatan yang paling ketara selepas enam minggu, berbanding peserta yang mengalami rabun ringan.
Penyelidik percaya ini berlaku kerana peserta dengan simptom teruk sebenarnya menghidap pseudo-myopia yang lebih mudah dipulihkan berbanding rabun dekat sebenar yang memerlukan pembedahan atau cermin mata khas.
Walaupun kajian ini masih dalam peringkat awal dan berskala kecil, pasukan penyelidik bercadang memperluaskan kajian mereka bagi meneroka potensi penuh permainan VR tersebut.
Sekiranya keberkesanannya disahkan, kaedah ini dijangka dapat membantu berjuta-juta pengguna muda yang menghabiskan masa panjang menatap skrin digital mengelak daripada mengalami rabun kekal.
Menurut pakar, sekiranya pseudo-myopia tidak dirawat, ia berisiko berkembang menjadi rabun dekat yang sebenar dan kekal.










