LUCKNOW: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Uttar Pradesh terselamat selepas sebatang paku pembinaan sepanjang lapan sentimeter (sm) dikeluarkan dari otaknya dalam satu pembedahan berisiko tinggi.
Insiden itu berlaku pada 15 Mei lalu di kampung Nawajpur, apabila mangsa terjatuh atas paku semasa bermain menyebabkan objek itu menembusi leher dan rahangnya sebelum tertanam ke dalam otak.
Imbasan CT yang dijalankan mendedahkan paku itu memasuki kawasan bawah rahang dan mencapai ruang kranial, sangat hampir dengan arteri utama yang boleh mengancam nyawa.
Berikutan risiko komplikasi seperti bengkak, jangkitan dan gangguan saraf, mangsa ditempatkan di bawah sokongan alat bantuan pernafasan dan dipantau rapi selama sepuluh hari.
Pada 29 Mei, mangsa dipindahkan ke wad biasa dalam keadaan sedar dan menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan.
Tiada tanda-tanda kecacatan neurologi dilaporkan.
“Kami menjangkakan pesakit akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” ujar seorang daripada doktor yang merawatnya.
Kejadian itu mengingatkan kembali insiden pada Mei 2021 di Itali, apabila seorang tukang kebun terkena serpihan paku sepanjang satu inci yang melayang ke arah matanya.










