LONDON: Sebuah pendedahan data dalaman Meta yang dibocorkan mendedahkan syarikat-syarikat Israel kini berdepan kejatuhan mendadak dalam penglibatan pengguna global berikutan isolasi negara itu yang semakin ketara akibat serangan berterusan ke atas Gaza, yang disifatkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai bersifat genosid.
Menurut laporan eksklusif yang diterbitkan oleh portal penyiasatan Drop Site News, kos bagi setiap klik (cost-per-click, CPC) iaitu metrik utama yang menilai kos bagi menarik satu penglibatan pengguna melonjak lebih 155 peratus bagi syarikat Israel antara tahun 2023 hingga 2025.
Kenaikan ini jauh mengatasi trend global dan mencerminkan penolakan besar-besaran terhadap jenama berkaitan Israel di pasaran antarabangsa.
Sepanjang tempoh 2023 hingga 2024, Israel membelanjakan hampir AS$1.9 bilion (RM8 bilion) bagi iklan di platform Meta namun, CPC meningkat daripada AS$0.094 kepada AS$0.24 dan sebagai perbandingan, syarikat bukan Israel hanya mengalami peningkatan marginal dalam tempoh sama.
Di United Kingdom, CPC bagi pengiklan Israel naik 163.2 peratus, di Kanada 106.6 peratus, dan di Jerman sebanyak 144.4 peratus dan dalam masa dua tahun, pengiklan Israel kini membayar lebih dua kali ganda untuk jumlah klik yang lebih sedikit merosot kepada hanya 39.2 peratus daripada jumlah yang dicatatkan pada tahun 2023.
Peningkatan kos ini dilaporkan berlaku serentak dengan lonjakan dalam perbelanjaan kerajaan Israel bagi kempen komunikasi awam, termasuk tambahan peruntukan sebanyak AS$150 juta (RM 633 juta) pada tahun 2025 untuk tujuan “diplomasi awam” atau hasbara (propaganda rasmi kerajaan Israel) namun, pelaburan besar ini dan rekod Meta yang dikatakan menyekat kandungan pro-Palestin, data menunjukkan masyarakat antarabangsa semakin menolak mesej dan produk berkaitan Israel.
Disebabkan tekanan hebat terhadap ekonomi Israel susulan dakwaan genosid di Gaza, yang kini turut dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beberapa syarikat yang berhubung kait dengan Israel dilaporkan cuba menyembunyikan asal-usul mereka.
Beberapa pengiklan utama dari Israel di Meta dikesan memadam identiti jenama dan menyembunyikan kaitan mereka dengan negara itu, dipercayai bagi mengelak daripada diboikot namun, usaha tersebut dilihat gagal membendung kerosakan ekonomi di mana CPC untuk iklan Israel yang menyasarkan penonton Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 93.3 peratus, berbanding hanya 2.8 peratus bagi syarikat bukan Israel manakala di Australia, peningkatan mencecah 115.9 peratus, di Perancis 102.7 peratus, dan di India pula 40.3 peratus.
Fenomena ini berlaku seiring dengan kemerosotan mendadak dalam reputasi antarabangsa Israel dimana ideks Global Soft Power 2025 meletakkan negara tersebut di kedudukan ke-121, menjunam 42 anak tangga dalam persepsi awam.
Satu tinjauan terbaharu oleh Pew Research turut menunjukkan 53 peratus rakyat Amerika kini mempunyai pandangan negatif terhadap Israel, berbanding 42 peratus pada tahun 2022 termasuk separuh daripada golongan Republikan muda berusia 18 hingga 49 tahun.
Selain itu, tekanan politik turut meningkat apabila Kesatuan Eropah dan United Kingdom membekukan rundingan perdagangan dengan Israel, sebagai isyarat ketidakpuasan terhadap kegagalan rejim Zionis menghentikan serangan di Gaza.
Desakan antarabangsa semakin memuncak susulan laporan Israel merancang untuk mengilhakkan Gaza dan mengusir paksa penduduknya.
Pendedahan ini memperlihatkan betapa seriusnya kesan ekonomi dan reputasi yang kini sedang menimpa Israel, hasil daripada kempen ketenteraan berterusan yang semakin ditolak oleh masyarakat dunia. -AGENSI










