KAHERAH: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan mengecam tindakan Israel yang menolak lawatan menteri-menteri Arab ke wilayah Tebing Barat yang diduduki, menyifatkan ia sebagai bukti ‘ekstremisme’ dan penolakan terhadap perdamaian.
Beliau menyuarakan kenyataan tersebut dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya dari Jordan, Mesir dan Bahrain di Amman.
Ahli-ahli Jawatankuasa Menteri yang ditugaskan oleh Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam mengenai Gaza bertemu Raja Abdullah II dari Jordan di Amman hari ini untuk membincangkan usaha gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan rancangan pasca perang.
Dalam pertemuan di Istana Al-Husseiniya itu, Raja Abdullah dan para menteri menegaskan kepentingan sokongan antarabangsa kepada rakyat Palestin untuk menuntut hak mereka dan mencapai perdamaian melalui penyelesaian dua negara.
Jawatankuasa Menteri tersebut yang dianggotai menteri-menteri luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Bahrain serta Setiausaha Agung Liga Arab turut mengadakan persidangan video pada Ahad bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, timbalannya Hussein Al-Sheikh dan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Mohammad Mustafa.
Menteri Luar Jordan, Ayman Al-Safadi berkata, tindakan Israel menghalang lawatan itu membuktikan bahawa kerajaan Israel terus mematikan semua peluang damai di rantau ini.
Putera Faisal bin Farhan menyuarakan pendapat yang sama dan menambah bahawa Pihak Berkuasa Palestin terus menjalankan tugasnya walaupun berdepan pihak yang enggan menerima sebarang penyelesaian.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty memberitahu Agensi Berita Jordan bahawa Jordan dan Mesir akan menentang sekeras-kerasnya semua rancangan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Pada Sabtu, Israel mengumumkan bahawa ia tidak akan membenarkan mesyuarat yang dijadualkan pada Ahad di ibu pentadbiran Palestin, Ramallah diteruskan. -ARABNEWS










