COPENHAGEN: Syarikat perkapalan gergasi dari Denmark, Maersk, mengumumkan akan menamatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan penempatan haram Israel di wilayah pendudukan Tebing Barat, susulan tekanan berterusan dari aktivis pro-Palestin.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa bulan syarikat tersebut menjadi sasaran kempen antarabangsa yang diketuai oleh Pergerakan Belia Palestin (Palestinian Youth Movement, PYM), sebuah organisasi akar umbi yang memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
Selain memfokuskan kepada penghantaran ketenteraan AS melalui Maersk, kumpulan itu turut membongkar pengangkutan kargo syarikat-syarikat yang terlibat dengan aktiviti penempatan Israel.
“Berdasarkan semakan terkini terhadap pengangkutan yang berkaitan dengan Tebing Barat, kami telah memperkukuhkan lagi prosedur saringan kami terhadap penempatan Israel, termasuk menyelaraskan proses tersebut dengan pangkalan data OHCHR,” ujar syarikat tersebut dalam satu kenyataan di laman rasmi mereka.
Pangkalan data yang dimaksudkan ialah senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) yang menyenaraikan syarikat-syarikat terlibat dalam pelbagai bentuk sokongan kepada penempatan haram, seperti penyediaan perkhidmatan, peralatan, dan operasi kewangan.
Israel telah membina lebih 100 penempatan haram di Tebing Barat, menempatkan kira-kira 500,000 pendatang Yahudi dan penempatan ini dari pos-pos kecil hingga komuniti moden lengkap dengan infrastruktur dianggap haram di sisi undang-undang antarabangsa.
“Langkah Maersk ini menghantar mesej jelas kepada industri perkapalan global bahawa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia bukan pilihan, tetapi kewajipan. Dunia sedang memerhati siapa yang akan ikut jejak langkah ini,” demikian menurut jurucakap PYM, Aisha Nizar.
Namun begitu, beliau menegaskan tindakan Maersk masih belum mencukupi kerana syarikat itu masih terlibat dalam penghantaran kargo ketenteraan kepada Israel.
Awal bulan ini, PYM turut mendedahkan pelabuhan Rotterdam di Belanda digunakan sebagai hub penting dalam apa yang mereka sebut sebagai rantaian bekalan kematian dan ini berlaku meskipun mahkamah Belanda telah mengharamkan pengeksportan komponen F-35 ke Israel.
Menjawab laporan tersebut, Maersk memberitahu mereka menegakkan dasar ketat untuk tidak menghantar senjata atau peluru ke zon konflik aktif dan sentiasa menjalankan penilaian sewajarnya di kawasan yang terlibat dengan konflik seperti Israel dan Gaza, serta menyesuaikan dasar tersebut mengikut konteks semasa.










