LONDON: Seorang lelaki kelahiran Turkiye yang membakar al-Quran di London didenda bagi kesalahan mengganggu ketenteraman awam bermotifkan kebencian agama.
Namun, kes berkenaan mendapat pembelaan kumpulan pejuang kebebasan bersuara.
Hamit Coskun, 50, menjerit ‘Islam agama keganasan’ dan ‘al-Quran sedang dibakar’ semasa membakar kitab suci itu di luar Konsulat Turkiye di London pada Februari lalu.
Hakim Daerah John McGarva di Mahkamah Majistret Westminster mendapati Coskun bersalah berikutan berkelakuan tidak senonoh berdasarkan ‘pendengaran atau pengamatan seseorang yang mungkin terganggu, terancam atau cemas akibatnya’.
McGarva berkata Coskun bermotifkan kebencian terhadap penganut agama tertentu iaitu Islam, dan mengenakan denda 240 pound (sekitar RM1,378) serta surcaj undang-undang 96 pound (RM551).
“Tindakan kamu membakar al-Quran di lokasi itu sangat provokatif disertai kata-kata kesat yang menyasarkan agama dan sekurang-kurangnya sebahagiannya bermotifkan kebencian terhadap penganut Islam,” kata hakim.
Pendakwa raya menegaskan Coskun tidak didakwa kerana membakar al-Quran, tetapi kerana kelakuan tidak senonoh di tempat awam.
“Dia didakwa atas tingkah laku yang mengganggu ketenteraman awam,” kata Philip McGhee dari Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS).
Seorang orang awam merakam kes itu, yang turut menunjukkan seorang lelaki dipercayai memegang pisau atau senjata tajam menghampiri Coskun dan dilihat cuba menyerangnya, menurut keterangan mahkamah.
Coskun, seorang ateis yang kini memohon suaka di United Kingdom (UK), mendakwa melalui media sosial dia melakukan bantahan terhadap kerajaan Islam pimpinan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Kos guamannya ditanggung oleh Free Speech Union (FSU) dan National Secular Society, yang berhujah dia secara tidak langsung sedang dihukum atas jenayah menghina agama walaupun Britain menjamin kebebasan bersuara.










