LYON: Seorang lelaki yang disyaki mencuri dan membakar senaskhah al-Quran dari sebuah masjid di pinggir bandar Lyon, Perancis, diberkas polis pada Selasa malam, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya.
Suspek yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental itu ditahan di Villeurbanne, lokasi sama dengan masjid tempat kejadian berlaku, kata pejabat pendakwa dan sumber polis.
Dalam insiden yang berlaku lewat malam Ahad lalu, Majlis Masjid Wilayah Rhone memaklumkan seorang lelaki tanpa penutup muka memasuki ruang solat, mengambil senaskhah al-Quran, membakarnya dan kemudian mencampakkannya di luar bangunan sebelum melarikan diri.
Siasatan berhubung kejadian itu dilancarkan, dan menurut pejabat pendakwa Lyon, kes disiasat di bawah kesalahan kerosakan atau kemusnahan menggunakan kaedah yang membahayakan orang awam, atas dasar perkauman, etnik, kebangsaan atau agama.
Insiden ini berlaku beberapa hari selepas satu serangan bermotif perkauman di Puget-sur-Argens, selatan Perancis, apabila seorang lelaki Perancis yang pernah memuat naik video bersifat perkauman, menembak mati jirannya warga Tunisia dan mencederakan seorang lelaki Turkiye.
Suspek yang dilahirkan pada tahun 1971 itu dilaporkan melarikan diri dengan kenderaan namun berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian setelah teman wanitanya memaklumkan kepada pihak polis.
Akhbar Le Parisien melaporkan dalam videonya, suspek mendakwa bersumpah setia kepada bendera Perancis serta menggesa rakyat negara itu menembak individu berketurunan asing.
Pejabat Pendakwa Anti-Keganasan Perancis mengambil alih siasatan ini, menjadikannya serangan bersifat perkauman pertama berkait pelampau kanan yang disiasat sebagai tindakan keganasan sejak penubuhan pejabat itu pada 2019.
Perancis kini menempatkan komuniti Islam terbesar di Kesatuan Eropah (EU), selain populasi Yahudi terbesar di luar Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Di London, seorang lelaki kelahiran Turki yang membakar al-Quran telah didapati bersalah atas kesalahan gangguan awam yang diperburuk oleh unsur keagamaan pada Isnin.
Sementara itu di Sweden, beberapa siri insiden pembakaran al-Quran turut berlaku, termasuk oleh Salwan Momika, seorang warga Kristian berketurunan Iraq, yang akhirnya ditembak mati pada Januari lalu. –AGENSI











