RIYADH: Lebih 94,000 individu terlibat secara langsung dalam pengurusan musim haji di Arab Saudi tahun ini yang menyaksikan seramai 1.4 juta umat Islam menunaikan ibadah itu pada awal Jun.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, petugas-petugas ini memainkan pelbagai peranan di lokasi-lokasi penting di Mekah dan Madinah bagi memastikan kelancaran ibadah haji.
Menurut kementerian, Pusat Pematuhan menjalankan lebih 70,000 pemeriksaan lapangan sepanjang musim haji termasuk di tempat penginapan jemaah, khemah, dapur pusat serta kemudahan operasi lain.
Inisiatif Nusuk Care pula menyediakan lebih 845,000 perkhidmatan secara langsung kepada jemaah haji merangkumi sokongan kesihatan, psikologi dan bantuan bahasa.
Lebih 3,000 sukarelawan turut menyumbang dalam usaha kerajaan semasa musim Haji, bertugas di lebih 107 lokasi perkhidmatan dan diagihkan merentasi enam laluan utama pergerakan jemaah.
Kementerian menyatakan bahawa pencapaian ini menunjukkan tahap perancangan, ketepatan operasi dan pelaburan dalam sumber manusia serta teknologi yang dilaksanakan selaras dengan matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).










