SYDNEY: Biola, kuali, penyedut hampagas dan ratusan tali pinggang antara barangan yang ditemukan dalam senarai lelongan tahunan barang hilang di Lapangan Terbang Sydney, Australia.
Lebih 40 juta penumpang melalui terminal lapangan terbang tersibuk negara itu sepanjang tahun lalu, dan ribuan barangan tertinggal oleh pemiliknya.
Sekitar 7,000 barangan dipulangkan, namun kira-kira 2,000 lagi gagal dituntut dan kini dilelong bagi tujuan kebajikan.
Antara barangan yang dianggap biasa termasuk pakaian, komputer riba, pembelian bebas cukai, serta pelbagai objek logam yang dikeluarkan ketika saringan keselamatan menyebabkan lebih 100 tali pinggang ditawarkan dalam lelongan kali ini, termasuk tali pinggang berjenama dan dijual secara set.
Turut dilelong ialah lebih 250 komputer riba dan 200 fon telinga serta headphone, termasuk set AirPods baharu dalam kotak dan juga fon telinga terpakai dalam pelbagai keadaan ada yang rosak, tidak bersih dan diragui keasliannya.
Bagi penggemar barang kemas, lebih 400 lot ditawarkan daripada gelang emas, cincin berlian dan mutiara, rantai leher hingga ke jam tangan mewah.
Walaupun bidaan bermula serendah AUD10 (RM30), terdapat barangan yang telah mencapai harga hampir AUD1,000 (RM3,100) hanya beberapa jam selepas lelongan dibuka pada Isnin lalu.
Penganjur memaklumkan lelongan itu juga menawarkan banyak peluang mendapatkan barangan berjenama pada harga murah, termasuk minyak wangi dan minuman keras yang masih berbungkus rapi dipercayai ditinggalkan di kedai bebas cukai sebelum menaiki pesawat.
Lebih menarik, hasil lelongan kali ini akan digunakan untuk membiayai kelas renang bagi ribuan kanak-kanak di kawasan barat Sydney.










