WASHINGTON: Harga minyak mentah dunia mencatatkan lonjakan peratusan harian tertinggi dalam beberapa tahun, mencerminkan kebimbangan konflik yang lebih luas di Asia Barat bakal mencetus gangguan besar terhadap bekalan tenaga global.
Minyak mentah Brent, penanda aras global, naik 4.3 peratus kepada AS$72.40 setong (RM307.21) manakala West Texas Intermediate (WTI), penanda aras Amerika Syarikat (AS), melonjak lima peratus kepada AS$71.40 (RM303.17) setong.
Menurut Reuters, ini merupakan kenaikan harian tertinggi bagi kedua-dua penanda aras sejak Mac 2022, sebulan selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.
“Lonjakan harga Brent mencerminkan kebimbangan segera terhadap bekalan serta rasa bimbang yang semakin meningkat jika perkembangan buruk ini boleh melanjutkan tempoh ketegangan lebih lama berbanding episod konflik Israel-Iran sebelum ini,” kata Ahli Strategi Penyelidikan Firma Perkhidmatan Kewangan Pepperstone, Ahmad Assiri.
Pelabur kini gusar terhadap bentuk tindak balas Iran yang mungkin berlaku, sama ada AS bakal menjadi sasaran, serta kemungkinan gangguan terhadap laluan penghantaran minyak yang penting.
Di pasaran saham, niaga hadapan saham AS menjunam, mendorong pelabur beralih ke aset perlindungan tradisional seperti emas.
Niaga hadapan Indeks Dow Jones jatuh 1.3 peratus atau lebih 540 mata.
Sementara itu, niaga hadapan S&P 500 dan Nasdaq Composite masing-masing susut 1.4 peratus dan 1.6 peratus manakala emas pula meningkat kira-kira satu peratus.-AGENSI










