Kajian dedah senaman mampu cegah kanser daripada berulang

Kajian dedah senaman mampu cegah kanser daripada berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO: Senaman bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kematian akibat kanser, malah lebih berkesan daripada rawatan ubat-ubatan dalam mencegah penyakit itu daripada berulang.

Penemuan kajian yang berlangsung lebih sedekad itu diumumkan Persatuan Onkologi Klinikal Amerika (ASCO) di Chicago dan diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England.

Kajian itu disertai pesakit dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Perancis, dan Kanada mendapati senaman terancang selepas rawatan kanser dapat mengurangkan risiko kematian 37 peratus serta menurunkan risiko kanser berulang atau kanser baharu sebanyak 28 peratus.

Dalam kajian tersebut, seramai 889 pesakit kanser kolon kebanyakannya di peringkat ketiga dibahagikan kepada dua kumpulan dengan seramai 445 pesakit menjalani program senaman terancang dengan bantuan jurulatih peribadi manakala bakinya diberikan risalah tentang gaya hidup sihat.

Pesakit dalam kumpulan senaman diberi sesi bimbingan dua kali sebulan dan kemudian sebulan sekali selama tiga tahun.

Mereka digalakkan melakukan aktiviti seperti berjalan kaki antara 45 hingga 60 minit sebanyak tiga hingga empat kali seminggu, selain aktiviti berkayak atau bermain ski dan selepas lima tahun, kumpulan itu mencatatkan 28 peratus risiko lebih rendah untuk kanser berulang atau kanser baharu.

Selepas lapan tahun, kumpulan sama mencatatkan penurunan 37 peratus dalam risiko kematian berbanding kumpulan kawalan.

Menurut penulis utama kajian, Dr Christopher Booth dari Universiti Queen, Kanada, hasil ini menjawab persoalan mengenai apa yang perlu mereka lakukan untuk tingkatkan peluang sembuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN