GAZA: Sebanyak 50,000 wanita hamil dan menyusu di Semenanjung Gaza kini berdepan ancaman serius akibat kekurangan zat pemakanan dan ubat-ubatan penting, menurut jurucakap Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir Al-Balah, Khalil Al-Daqran.
Dalam temu bual bersama Voice of Palestine, beliau menjelaskan kadar keguguran di Gaza telah meningkat enam kali ganda berbanding sebelum tercetusnya perang, selain berlaku lonjakan dalam jumlah kelahiran pramatang, manakala unit rawatan neonatal kini beroperasi melampaui kapasiti.
Menurut beliau, rejim Zionis terus menyasarkan sistem kesihatan secara sistematik sehingga kini berada di ambang kehancuran sepenuhnya.
Lebih 23 buah hospital kini tidak lagi beroperasi, manakala fasiliti kesihatan yang masih berfungsi hanya beroperasi secara separa dengan bekalan ubat, peralatan perubatan dan bahan api yang amat terhad.
Khalil turut memaklumkan lebih 12,000 pesakit kanser telah dinafikan rawatan, mengakibatkan purata lima kematian dicatatkan setiap hari.
Dalam masa sama, ramai pesakit buah pinggang turut terkorban kerana rawatan dialisis yang tidak dapat dijalankan.
Malah sesi rawatan terpaksa dipendekkan berikutan kekurangan sumber kritikal.
Krisis kesihatan ini merupakan satu daripada akibat langsung tindakan pencerobohan dan sekatan berterusan yang dikenakan ke atas Gaza, menyebabkan rakyat awam khususnya golongan wanita dan kanak-kanak terus menjadi mangsa utama dalam konflik yang berlarutan ini. -AGENSI










