Jae Myung angkat sumpah Presiden Korea Selatan

Jae Myung angkat sumpah Presiden Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Calon parti berhaluan tengah kiri, Lee Jae Myung secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden Korea Selatan selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya tergempar, sekali gus mengambil alih tampuk kepimpinan negara yang sedang bergelut dengan krisis politik berpanjangan.

Jae Myung diumumkan sebagai pemenang awal pagi Rabu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Korea Selatan mengesahkan keputusan rasmi undian.

Beliau menewaskan pencabar konservatifnya, Kim Moon Soo daripada parti bekas Presiden, Yoon Suk Yeol yang disingkirkan.

Jae Myung memperoleh 49.4 peratus undi, mengatasi Moon Soo yang meraih 41.2 peratus selepas kempennya terjejas akibat perpecahan dalaman parti serta kehadiran calon ketiga yang memecah undi blok kanan.

Kebiasaannya, peralihan kuasa di Korea Selatan mengambil masa lebih lama namun, berikutan kemenangan ini berlaku dalam pilihan raya tergempar selepas pemecatan Suk Yeol, Jae Myung terus memulakan tugasnya secara rasmi.

Moon Soo mengakui kekalahan lebih awal sebelum keputusan rasmi diumumkan, apabila pengiraan undi menunjukkan tiada peluang untuk beliau mengejar pesaingnya itu.

Jae Myung mula menjalankan tugas sebagai Presiden hanya beberapa jam sebelum Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas eksport keluli dan aluminium Korea Selatan, satu tamparan hebat kepada ekonomi negara.

Namun begitu, pasaran menunjukkan reaksi positif dengan indeks penanda aras KOSPI serta nilai mata wang won mencatatkan kenaikan.

Kepimpinan Jae Myung hadir ketika negara masih trauma dengan peristiwa cubaan Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu, yang mencetuskan kebangkitan sayap kanan ekstremis dan menggugat kestabilan demokrasi negara itu.

Dalam ucapan pertamanya kepada penyokong sebaik diumumkan sebagai Presiden, Jae Myung menyeru rakyat Korea Selatan untuk melangkah ke hadapan dengan harapan dan lembaran baharu.

Beliau turut berikrar untuk mengutamakan dialog, komunikasi dan kerjasama dengan Korea Utara, demi mencari jalan ke arah keamanan bersama dan kemakmuran serantau.

Jae Myung memulakan hari pertamanya sebagai Presiden dengan berbicara bersama panglima tertinggi angkatan tentera, bagi mengesahkan peralihan kuasa kawalan operasi ketenteraan negara.

Beliau turut menyeru anggota tentera agar sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman daripada Korea Utara.

Beliau juga memuji profesionalisme pasukan tersebut menangani krisis undang-undang tentera baru-baru ini yang disifatkan sebagai tindakan pantas menghalang negara daripada terjerumus ke dalam kekacauan lebih dahsyat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×