TEL AVIV: Selepas hampir dua tahun melakukan genosid di Semenanjung Gaza, Israel menghadapi kekurangan anggota tentera kritikal sehingga terpaksa mengerahkan anggota wanita ke barisan hadapan.
Sebelum operasi ketenteraan dilancarkan, anggota tentera wanita Israel kebiasaannya ditugaskan di pos kawalan dan sempadan, khususnya di Tebing Barat yang diduduki secara haram.
Namun, kempen ketenteraan yang berpanjangan kini menyaksikan wanita turut dihantar ke medan tempur di Gaza, Lubnan dan Syria.
Pada Mei lalu, tentera Israel mengakui mereka kekurangan lebih 10,000 anggota dan krisis tersebut bertambah parah selepas pendedahan terdapat lebih 9,000 anggota simpanan yang terbabit dalam operasi di Gaza kini smenjalani rawatan akibat trauma psikologi.
Laporan media Israel turut menyiarkan tekanan mental dan fizikal yang ditanggung oleh anggota tenteranya, sekali gus menjejaskan keupayaan Zionis meneruskan operasi dalam jangka panjang.
Statistik terkini menyatakan satu daripada lima anggota tentera dalam unit tempur Israel adalah wanita yang dihantar ke zon-zon konflik paling berbahaya bagi menampung kekurangan anggota lelaki.
Israel turut menyasarkan golongan lelaki ultra-Ortodoks Yahudi untuk diwajibkan menyertai tentera.
Ia susulan keputusan Mahkamah Agung negara haram itu yang membatalkan pengecualian terhadap golongan tersebut.
Golongan ultra-Ortodoks merangkumi 13 peratus daripada jumlah penduduk Israel.
Meskipun wanita dibenarkan menyertai lebih banyak operasi ketenteraan, mereka masih tidak dibenarkan menyertai unit-unit elit.











