SAO PAULO: Selepas lebih 600 hari serangan udara dan darat bertubi-tubi dilancarkan terhadap Gaza, tentera Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu masih gagal mencapai sebarang matlamat utama yang dilaungkan sejak awal serangannya.
Menurut Sejarawan dan Naib Presiden Institut Brazil-Palestin (Ibraspal), Sayid Marcos Tenorio, analisis pelbagai portal antarabangsa termasuk dari Israel sendiri mula mempersoalkan keupayaan tentera rejim yang selama ini dikatakan ‘terunggul’ di rantau itu.
Sepanjang konflik, kekuatan tentera yang digunakan Israel terhadap Gaza juga dilaporkan jauh lebih besar berbanding kerahan oleh Amerika Syarikat (AS) sepanjang 19 tahun perang di Vietnam.
Beliau turut menegaskan, usaha tentera rejim untuk mengosongkan Gaza juga gagal kerana ratusan ribu penduduk Palestin yang diusir terus kembali ke kawasan kediaman mereka sebaik sahaja gencatan senjata diumumkan.
“Jika AS menjatuhkan kira-kira 15 tan bahan letupan bagi setiap kilometer persegi di Vietnam, Israel pula sudah melepaskan 275 tan bagi setiap kilometer persegi di Gaza sejak 7 Oktober 2023, 18 kali ganda lebih dahsyat.
“Tetapi persoalannya mengapa Israel masih belum menewaskan Hamas? Apa sebenarnya yang sedang berlaku di sana? Mengapa Hamas masih mampu bertahan dan tidak ditewaskan?
“Soalan-soalan ini hakikatnya mencerminkan kegagalan untuk memahami Hamas ialah musuh yang mempunyai ketahanan luar biasa, manakala rakyat Palestin pula berjuang menghadapi penjajahan dengan apa jua cara. Satu simbol ketahanan yang tidak mampu dikalahkan dengan kekerasan,” katanya.
Tenorio berkata, walaupun infrastruktur Gaza musnah dan ramai pemimpinnya terbunuh, kejayaan masih jelas belum berpihak kepada Israel.
Katanya, Hamas tetap beroperasi dan menunjukkan ketahanan yang memaksa tentera rejim berundur dan kembali ke kawasan sama berulang kali.
“Apa yang jelas, mesin perang Zionis kini terperangkap dalam pertempuran jangka panjang yang hanya melemahkan barisan kepimpinannya, mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Israel serta menyebabkan keletihan yang teruk dalam kalangan tenteranya.
“Ribuan askar diberhentikan akibat masalah psikiatri, selain peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan mereka. Keadaan ini menunjukkan walaupun Israel boleh menumpahkan darah, ia tetap tewas secara keseluruhannya.
“Kejayaan yang dibanggakan Israel ialah jenayah perang, pembunuhan kejam libatkan wanita dan kanak-kanak, memusnahkan infrastruktur dan cubaan menghapuskan kehidupan di Gaza,” katanya.










