Israel dijangka pintas kapal Freedom Flotilla sebelum tiba di Gaza - Utusan Malaysia

Israel dijangka pintas kapal Freedom Flotilla sebelum tiba di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa bagi Menamatkan Sekatan terhadap Gaza, Zaher Birawi menjangkakan pasukan tentera Israel akan memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla sebelum sempat tiba di Semenanjung Gaza.

Birawi bagaimanapun menyuarakan harapan agar misi itu menerima perlindungan antarabangsa dan sokongan rakyat dunia serta berjaya sampai ke Gaza bagi membantu menamatkan sekatan yang telah berkuat kuasa selama 17 tahun.

Kapal Madeleine yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah berlepas dari pelabuhan Catania di pulau Sicily, Itali pada Isnin dengan perjalanan dijangka mengambil masa tujuh hari.

Madeleine merupakan kapal ke-36 yang dilancarkan oleh Gabungan Freedom Flotilla dalam usaha berterusan mereka untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Pasukan tentera Israel telah menyambung semula serangan dan mengetatkan sekatan ke atas Gaza pada 18 Mac lalu sekali gus menamatkan gencatan senjata selama dua bulan yang bermula pada 19 Januari.

Namun, sepanjang tempoh gencatan senjata tersebut, Israel telah beberapa kali melanggar syarat-syarat perjanjian.

Sejak bermulanya serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, dengan sokongan penuh Amerika Syarikat (AS), operasi ketenteraan berterusan telah mengorbankan dan mencederakan lebih 178,000 orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak Palestin.

Ribuan lagi masih hilang, manakala ratusan ribu telah dipaksa berpindah dalam keadaan kemanusiaan yang amat kritikal termasuk ancaman kebuluran.

Serangan itu juga telah menyebabkan kemusnahan meluas, termasuk pemusnahan rumah-rumah penduduk, bangunan kediaman bertingkat, hospital dan sebahagian besar infrastruktur di Gaza.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN