TEHERAN: Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh menegaskan negara itu akan menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat sekiranya berlaku konflik antara kedua-dua negara.
Presiden Donald Trump pula menyatakan beliau semakin hilang keyakinan terhadap prospek mencapai perjanjian nuklear dengan Teheran.
Sejak April lalu, AS dan Iran telah menjalankan lima pusingan rundingan bagi merangka perjanjian yang dapat mengehadkan pengayaan uranium oleh Teheran namun, Trump memberi amaran AS bersedia mengambil tindakan ketenteraan sekiranya tiada persetujuan dicapai.
“Beberapa pihak dari sebelah sana mengancam akan mencetuskan peperangan jika rundingan gagal. Jika konflik dipaksakan ke atas kami, maka semua pangkalan tentera AS berada dalam jangkauan kami dan kami akan menyasarkannya secara berani di negara-negara tuan rumah,” kata Nasirzadeh, menurut laporan agensi berita Reuters.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula menegaskan pendirian republik itu tidak akan membina senjata nuklear, selaras dengan pegangan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau berkata, Iran kini berunding dan akan terus bertegas agar tiada kuasa asing memaksakan kehendak mereka terhadap Teheran.
Pusingan keenam rundingan dijangka berlangsung minggu ini, dengan Trump menyatakan ia diadakan pada Khamis, manakala pihak Iran menyatakan rundingan akan berlangsung pada Ahad di Oman.
Sementara itu, dalam satu wawancara audio siar Pod Force One yang disiarkan Rabu lalu, Trump berkata beliau semakin kurang yakin perjanjian dapat dicapai namun, beliau mengulangi pendirian AS tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.
Iran tetap mempertahankan program nuklearnya adalah bertujuan menjaga keamanan dan tenaga, namun negara-negara Barat menyuarakan kebimbangan ia boleh menuju ke arah pembangunan senjata nuklear.
Dalam pusingan rundingan akan datang, Teheran dijangka mengemukakan cadangan balas terhadap tawaran AS yang ditolak sebelum ini.
Semasa penggal pertamanya di Rumah Putih dari 2017 hingga 2021, Trump telah menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa besar dunia yang menghadkan pengayaan uranium Teheran sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan. –AGENSI










