India sahkan tiga suspek serang pelancong di Kashmir warga Pakistan - Utusan Malaysia

India sahkan tiga suspek serang pelancong di Kashmir warga Pakistan

SEORANG penduduk menunaikan solat di dalam sebuah masjid yang rosak akibat bedilan tentera India di daerah Kotil, Kashmir, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India mengesahkan ketiga-tiga suspek yang terlibat dalam serangan berdarah ke atas pelancong berhampiran bandar Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India pada April lalu merupakan warga Pakistan dan anggota kumpulan yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lashkar-e-Taiba (LeT).

Kenyataan itu dibuat oleh Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) India selepas dua lelaki tempatan ditahan kerana didakwa memberi perlindungan kepada para penyerang.

Tangkapan itu dibuat selepas siasatan intensif dijalankan berikutan serangan kejam yang mengorbankan 26 nyawa di kawasan percutian popular Baisaran pada 22 April lalu.

Sebelum ini, polis tempatan mengeluarkan lakaran wajah tiga suspek, dua dikenal pasti sebagai rakyat Pakistan dan seorang lagi sebagai warga tempatan namun, hasil siasatan terbaru NIA mendapati kesemua penyerang adalah rakyat Pakistan yang mempunyai kaitan langsung dengan Lashkar-e-Taiba.

Pakistan setakat ini masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendedahan terbaru ini, tetapi sebelum ini telah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut.

Serangan berdarah itu mencetuskan ketegangan serius antara dua kuasa nuklear Asia Selatan itu, India dan Pakistan yang sebelum ini telah berperang sebanyak tiga kali, termasuk konflik berpanjangan mengenai wilayah bergolak Kashmir yang dituntut kedua-dua negara secara keseluruhan tetapi ditadbir secara berasingan.

Susulan kejadian, pihak berkuasa India melancarkan operasi besar-besaran memburu penyerang di seluruh wilayah Kashmir dengan ribuan individu ditahan untuk disoal siasat namun sehingga kini, ketiga-tiga militan terbabit masih belum berjaya ditangkap.

NIA memaklumkan dua suspek tempatan yang ditahan didakwa dengan sengaja memberi perlindungan kepada ketiga-tiga militan bersenjata di sebuah pondok sebelum serangan berlaku walau bagaimanapun, agensi itu tidak memperincikan bila tangkapan dibuat dan kedua-dua suspek masih belum memberi sebarang kenyataan kerana berada dalam tahanan.

Dalam tempoh beberapa hari selepas serangan, India bertindak tegas dengan membatalkan Perjanjian Air Indus 1960 perjanjian lama berkaitan perkongsian sumber air dengan Pakistan dan sebagai tindak balas, Pakistan menarik diri daripada Perjanjian Simla 1972 yang selama ini menjadi asas rundingan damai dan penyelesaian dua hala.

Ketegangan memuncak apabila India melancarkan serangan udara dan peluru berpandu pada 7 Mei lalu, menyasarkan lokasi yang didakwa sebagai infrastruktur pengganas di wilayah Pakistan sebelum negara tersebut bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu serta menghantar dron ke wilayah India.

Ketegangan antara kedua-dua negara hanya berjaya diredakan pada 10 Mei selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan satu gencatan senjata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×