GAZA: Sekurang-kurangnya 144 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan udara dan tembakan artileri Israel di seluruh Semenanjung Gaza.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata jumlah itu termasuk 11 orang yang terbunuh selepas tentera Israel menembak dan melancarkan beberapa roket ke arah ribuan orang awam sedang beratur untuk mendapatkan makanan di tengah Gaza.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa pasukannya yang beroperasi di tengah Gaza mengesan ‘sekumpulan individu mencurigakan’ yang menghampiri mereka ‘dalam keadaan yang dilihat sebagai berpotensi mengancam pasukan’.
Menurutnya, pasukan itu kemudian melepaskan ‘tembakan amaran’, namun menyatakan mereka tidak menyedari ada yang cedera.
Serangan lain turut menyasarkan kawasan kediaman di kem pelarian Maghazi, kejiranan Zeitoun dan Bandar Gaza, mengorbankan lebih 20 orang, manakala lima lagi maut dalam serangan ke atas sebuah khemah pelarian di Khan Younis.
Pasukan perubatan melaporkan bahawa 14 orang terbunuh apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu trak bantuan di sepanjang Jalan Salahuddin, laluan utama bantuan kemanusiaan di tengah Gaza.
Sejak penghantaran bantuan makanan disambung semula pada akhir Mei, lebih 397 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan, dan lebih 3,000 lagi cedera.
Mengenai salah satu serangan itu, tentera Israel berkata pasukannya sedang menjalankan operasi untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Hamas.
Lewat Rabu, tentera Israel memaklumkan bahawa seorang anggotanya, Sarjan Staf Stav Halfon, terbunuh semasa operasi ketenteraan di selatan Gaza.
Dalam satu lagi kes tiga individu dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kawasan kejiranan di timur laut Gaza City, menurut Bassal.
Sekatan media oleh Israel di Semenanjung Gaza serta kesukaran untuk mengakses sesetengah kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas angka korban dan maklumat yang diberikan agensi pertahanan awam.











