Golongan ibu di Gaza paling akhir jamah makanan

Golongan ibu di Gaza paling akhir jamah makanan

WANITA Palestin berjalan sambil menggendong bayi mereka di kem Jabalia di utara Gaza, pada 8 April lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Wanita terutamanya golongan ibu di Semenanjung Gaza sanggup berlapar dan sering menjadi individu paling akhir yang menjamah makanan, bagi memastikan anak serta keluarga mereka tidak kebuluran.

Sejak serangan kejam Zionis dilancarkan Oktober 2023, wanita di Gaza menjadi golongan yang paling terkesan, malah kini perlu berperanan sebagai ketua keluarga.

Menurut sekumpulan pakar hak asasi manusia bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 13,000 wanita di Gaza terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua isi rumah dan menjaga anak tanpa tempat perlindungan selamat atau serba kekurangan.

Sehingga kini, lebih 28,000 wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza terbunuh, dengan purata seorang setiap jam, menjadikan wilayah itu sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk golongan berkenaan, menurut PBB.

TIGA JAM KUMPUL AIR

Penyelaras jantina serantau Oxfam MENA, Hadeel Qazzaz berkata, lebih dua pertiga atau kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza berhimpit dalam kawasan seluas 69 kilometer persegi, kurang satu per lima daripada keseluruhan wilayah tersebut.

Dengan keadaan khemah dan kem pelarian yang sesak, kekurangan air bersih dan kemudahan asas menjadikan tugas harian wanita di Gaza semakin mencabar.

“Daripada terpaksa beratur berjam-jam dalam cuaca panas untuk mendapatkan air, hinggalah menghadapi risiko kesihatan setiap hari akibat kekurangan sanitasi sempurna.

“Malah, ketiadaan tandas bersih dan selamat menyebabkan masalah kesihatan serius, termasuk jangkitan dalam kalangan wanita,” katanya kepada Arab News.

Di lokasi penempatan sementara yang dikunjungi Oxfam pada Mei tahun lalu, titik air dilaporkan terletak sejauh satu kilometer.

Wanita dan kanak-kanak perempuan menghabiskan sehingga tiga jam sehari untuk mengumpul air, berbanding 1.7 jam bagi golongan lelaki.

Selain itu, ketidakjaminan makanan merupakan ancaman lain yang turut semakin meningkat di wilayah terkepung berkenaan.

Sembilan daripada 10 lokasi penempatan menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan dalam kalangan penduduk, dengan isi rumah yang diketuai wanita antara paling terdedah.

“Wanita sanggup berlapar agar anak-anak mereka dapat makan. Ramai yang mempertaruhkan kesihatan sendiri demi memastikan keluarga terus hidup.

“Apabila bantuan makanan tiba, wanita sering makan paling akhir atau langsung tidak makan,” kata Qazzaz.

Dianggarkan 71,000 kanak-kanak dan 17,000 wanita memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan akut dalam beberapa minggu akan datang, menonjolkan keperluan mendesak kepada akses bantuan berterusan.

BERGELUT HADAPI KITARAN HAID

90 peratus isi rumah mengalami krisis air yang melampau, dengan wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa bergelut untuk menguruskan kitaran haid tanpa akses kepada air bersih, sabun, tuala wanita serta ruang peribadi yang selamat.

Analisis jantina oleh Oxfam mendapati 690,000 wanita dan kanak-kanak Gaza yang sedang haid tidak mempunyai akses kepada kemudahan bersih serta bekalan air mencukupi untuk menjaga kebersihan asas.

Setiap individu hanya diperuntukkan sekitar 6.6 liter air sehari, kurang daripada separuh piawaian minimum kecemasan global.

Tandas pula tidak bersih, sesak dan sering kali tidak selamat untuk mereka, dengan sehingga 1,000 orang terpaksa berkongsi satu kemudahan.

“Golongan wanita terdedah kepada gangguan dan terpaksa menggunakan pakaian lama atau hanya seluar dalam apabila mereka haid kerana sukar mendapatkan tuala wanita.

“Keadaan ini menyebabkan jangkitan kuman, komplikasi kesihatan, malah kematian,” menurut laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN