EU pertimbang tindakan terhadap Israel jika tiada penambahbaikan di Gaza - Utusan Malaysia

EU pertimbang tindakan terhadap Israel jika tiada penambahbaikan di Gaza

ORANG ramai mengusung mayat rakyat Palestin yang dilaporkan terbunuh dalam pengeboman Israel di barat Jabalia, utara Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran akan mengambil tindakan lanjut terhadap Israel sekiranya tiada penambahbaikan konkrit dilakukan bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata, selepas menghadiri mesyuarat bersama para menteri luar blok itu di Brussels, adalah amat jelas Israel telah melanggar komitmen hak asasi manusia dalam tindakannya di wilayah-wilayah tersebut.

Menurut beliau, jika situasi semasa terus merosot, EU berkemungkinan membincangkan langkah-langkah susulan dan perkara itu dijangka dibangkitkan semula pada bulan Julai.

“Soalan sebenar ialah, apakah langkah yang mampu kita capai secara sepakat?” katanya, namun menegaskan keutamaan kini ialah memperbaiki keadaan di lapangan dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

EU sebelum ini telah menjalankan semakan ke atas Perjanjian Perkaitan EU-Israel, iaitu satu pakatan perdagangan dan kerjasama yang mula berkuat kuasa sejak tahun 2000 selepas 17 negara anggota memprotes sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kertas semakan oleh pasukan Kallas mendapati terdapat petunjuk Israel melanggar obligasi hak asasi manusia, termasuk keganasan oleh pendatang Yahudi di Tebing Barat dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Hanya Sepanyol secara tegas menggesa agar perjanjian itu digantung, manakala negara-negara yang dikenali menyokong perjuangan Palestin seperti Belgium, Ireland dan Sweden menekankan perlunya tindakan konkrit diambil namun, beberapa negara seperti Jerman, Itali dan Greece dilaporkan menolak cadangan menggantung perjanjian itu.

Israel pula bertindak balas keras terhadap laporan semakan EU itu dengan menyifatkannya sebagai tidak bermaruah dan berat sebelah.

Dalam satu memo kepada perkhidmatan luar EU, kerajaan Israel menyifatkan dokumen tersebut sebagai ringkasan yang sangat satu pihak dan dipengaruhi suara anti-Israel.

Walaupun penggantungan penuh perjanjian memerlukan persetujuan sebulat suara negara-negara EU, sebahagian daripadanya seperti kerjasama perdagangan atau penyertaan Israel dalam program penyelidikan Horizon boleh digantung melalui undian majoriti berkadar.

Perjanjian perkaitan yang bernilai €68 bilion (RM356 bilion) itu menjadikan EU sebagai pasaran eksport terbesar Israel, merangkumi hampir satu pertiga keseluruhan eksport negara tersebut. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN