COLORADO: Seorang lelaki melancarkan bom api yang menyebabkan ramai cedera di Boulder, Colorado ketika orang ramai berkumpul dalam satu perhimpunan bagi mendesak pembebasan tebusan Israel.
Menurut pihak berkuasa, suspek sudah ditahan dan siasatan dijalankan. Pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyifatkan insiden itu sebagai serangan pengganas yang disasarkan, namun pihak berkuasa tempatan berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan motif sebenar masih dalam siasatan.
“Apabila kami tiba, kami mendapati ramai mangsa dengan kecederaan akibat melecur,” kata Ketua Polis Boulder, Stephen Redfearn, dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pihak berkuasa memaklumkan, lelaki berkenaan didakwa melemparkan beberapa botol yang mengandungi cecair mudah terbakar yang mencederakan orang ramai.
Sekurang-kurangnya dua individu ikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Liga Anti-Pemfitnahan (ADL) dalam kenyataan memaklumkan serangan itu berlaku ketika acara ‘Boulder Run for Their Lives’, satu perhimpunan mingguan komuniti Yahudi yang bertujuan menyokong tebusan yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023 di Israel.
ADL turut menyatakan serangan berlaku menjelang sambutan Shavuot, iaitu perayaan Yahudi yang memperingati penurunan Taurat kepada umat Yahudi di Gunung Sinai.
Setakat ini, polis belum mendedahkan identiti suspek, tetapi menurut satu sumber yang rapat dengan siasatan kepada CNN, suspek dijangka akan berdepan pertuduhan jenayah persekutuan.
Ejen FBI dan pendakwa persekutuan kini sedang mengkaji keadaan insiden untuk menentukan sama ada suspek akan didakwa atas tuduhan keganasan atau kesalahan jenayah persekutuan lain, menurut sumber tersebut.










